Keras hati satu celaan
DALAM kitab Sahih Al-Bukhari, terdapat satu kisah yang pengajarannya sangat penting untuk kita renungkan bersama.Seorang laki-laki dari Mesir datang kepada Ibnu Umar untuk bertanya tentang Khalifah Usman bin Affan. Rakyat Mesir pada saat itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan merencana untuk memberontak kepada kerajaan.
Orang itu berkata: "Benarkah bahawa Usman melarikan diri pada perang Uhud?"
Ibnu Umar menjawab: "Ya."
Orang itu bertanya lagi: "Benarkah ia juga tidak hadir pada perang Badar?"
Ibnu Umar menjawab: "Ya."
Berkata lagi orang itu: "Benarkah bahawa dia juga tidak hadir pada peristiwa Bai'atul-Ridwan?" Sekali lagi Ibn Umar menjawab: "Ya."
Orang itu segera bangkit sambil bertakbir: "Allahu Akbar."
Dia menyimpulkan bahawa kebenciannya kepada Khalifah Usman memang beralasan dan menjadi semakin yakin Khalifah Usman adalah seseorang yang tercela kerana maklumat yang telah disahkan oleh Ibnu Umar tadi.
Melihat gelagat tidak kena ini, Ibnu Umar berniat meluruskan kefahaman. Beliau memanggil kembali orang itu dan berkata: "Ke sinilah kamu agar aku jelaskan perkara sebenarnya. Usman memang melarikan diri daripada perang Uhud, namun aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkannya (sebagaimana firman Allah di surah Ali Imran: 155).
"Ia memang tidak hadir pada perang Badar, namun itu kerana isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah SAW tengah sakit. Baginda memerintahkan Usman merawat isterinya dan bersabda: "Kamu berhak mendapat pahala dan rampasan perang seperti orang yang menghadiri perang Badar."
"Ia memang tidak hadir pada Bai'atul-Ridwan, namun itu kerana Rasulullah telah mengutus beliau ke Mekah. Andai ada orang lain yang lebih dihormati di Mekah daripada Usman, nescaya baginda akan mengutus orang itu."
Selepas penjelasan ini, persepsi tentang Khalifah Usman berbalik 180 darjat. Beliau sama sekali bukan orang yang buruk, malah tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW.
Ibnu Umar lalu berkata: "Sekarang, pergilah engkau membawa maklumat ini."
Jangan cepat menghukum
Saya menyimpulkan pengajaran yang sangat berharga daripada kisah ini, iaitu jangan mudah menghukum atau menilai sebelum difikirkan seluruh aspeknya.
Seringkali kita bersikap seperti laki-laki dari Mesir ini. Kita cepat menilai dan menghukum seseorang dengan maklumat yang tidak sempurna. Kita hanya mendengar daripada satu sudut, lalu tergesa-gesa menarik kesimpulan. Tergesa-gesa menyimpulkan hanya akan melahirkan kesimpulan tergesa-gesa.
Berkata 'Amr bin Al-'As (seorang sahabat Nabi SAW): "Seseorang hanya akan memetik buah penyesalan daripada sikap tergesa-gesa."
Islam sangat membenci sikap terburu-buru (al-'ajalah). Sebaliknya, Islam sangat menganjurkan bertenang (al-anah) dalam setiap perkara. Itu sebabnya, Islam memberi kesempatan cerai (talak) hingga tiga kali.
Islam juga memberi kesempatan bagi pasangan yang bercerai untuk memikirkan kembali keputusannya dengan meletakkan hukum 'iddah. Begitu juga berbagai hukum-hukum Islam lainnya yang terlalu banyak untuk disebutkan di sini.
Semua ini mengajarkan kita agar kita tidak berucap atau bertindak sebelum memikirkan semua masak-masak semua aspek dan kesannya.
No comments:
Post a Comment