Google+ Followers

Tuesday, 5 February 2013

Abu al Abbas Ahmad ibnu Muhammad al Syarif


Murabbi, mujahid di jalan Allah


AL Allamah al Muhaddith al Musnid al Mujahid al Syarif Abu al Abbas Ahmad ibnu Muhammad al Syarif ibnu Muhammad Ali al Sanusi dilahirkan di Jaghbub Libya pada 1290 Hijrah bersamaan 1873 Masihi. Beliau ditarbiah dalam pangkuan bapanya, Sayyid Muhammad al Syarif sehingga menjangkau usia enam tahun dan kemudian diasuh pula oleh bapa saudaranya, al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi al Sanusi.

Beliau mula belajar dan menghafaz al-Quran denga bapa saudaranya tersebut sehingga telah menghafaz sebahagian besar ayat al-Quran. Kemudian bapa saudaranya itu, menyuruhnya mengkhatamkan hafazannya dengan syeikh dan imam di Jaghbub, Sayyid al Madani al Tilmasani.

Oleh kerana tidak mahu pembelajarannya dengan bapa saudaranya terhenti begitu sahaja, beliau akan membaca ayat-ayat al-Quran tertentu sehingga berjaya diijazahkan. Kemudian barulah dia menemui gurunya Sayyid al Madani.

Demikianlah yang dilakukan sehingga berjaya menyempurnakan hafazan al-Quran dan mendalaminya.

Setelah itu, beliau memulakan pembelajaran ilmu bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan dua orang gurunya iaitu Sayyid 'Imran ibnu Barakah al Faituri dan Sayyid Ahmad al Rifi yang merupakan murid terhebat datuknya, al Imam Sayyid Muhammad Ali al Sanusi.

Mereka berdua telah mengijazahkan beliau dengan segala riwayat yang pernah diijazahkan oleh datuk Ahmad Al Syarif, sama ada daripada aspek dirayah mahupun riwayah yang meliputi pelbagai bidang ilmu Islam.


Pengembaraan jihad

Sayyid Ahmad telah bermusafir bersama bapa dan bapa saudaranya dari Jaghbub ke Wahah al Kufrah pada 1312 Hijrah.

Setelah kewafatan bapanya di Jaghbub pada 1313 Hijrah, beliau kembali ke Kufrah serta tinggal di sana bersama bapa saudaranya, Sayyid Muhammad al Mahdi.

Pada 1317 Hijrah, beliau bermusafir dengan bapa saudaranya dari Kufrah ke Koro di Sudan dan menyertai jihad menentang tentera Perancis.

Selepas pemerintahan bapa saudaranya, beliau diberikan kepercayaan menggalas tugas berdakwah pada jalan Allah. Beliau berjihad menentang tentera-tentera Perancis di Chad, Sudan selama 10 tahun.

Kemudian apabila Itali menyerang Libya, beliau kembali ke tanah air untuk mempertahankannya dengan mengetuai jihad menentang penjajah.

Beliau sendiri telah menyertai peperangan pertama yang sangat masyhur pada hari Jumaat dan Allah telah memberikan kemenangan kepada tentera Muslimin.

Sekitar tiga tahun dari 1331 hingga 1333 Hijrah beliau terlibat dalam peperangan mengusir penjajah dan menyertai tentera mujahidin seperti peperangan di Bezafim, Sawani, Mu'aizil dan di Wadi Qamar.

Apabila terjadi pertempuran antara beliau dengan tentera Inggeris yang menjajah Mesir, tempatnya diambil alih oleh sepupunya Sayyid Muhammad Idris al Mahdi sebagai khalifah yang akhirnya ditabalkan sebagai Raja Libya yang pertama.

Kemudian Sultan kerajaan Uthmaniah mengundang Sayyid Ahmad menziarahi Istanbul. Semasa berada di sana, beliau telah ditawarkan kedudukan sebagai Naib Khalifah Uthmaniah, tetapi menolaknya dengan baik.

Kemudian beliau keluar dari Istanbul menuju ke Syria. Dalam perjalanan tersebut, beliau menziarahi Baitul Maqdis kemudian menuju ke Mekah menunaikan haji dan menziarahi Taif seterusnya ke Yaman untuk menziarahi makam al Imam Sayyid Ahmad ibnu Idris.

Beliau juga tinggal di sana beberapa ketika bagi menguruskan perjanjian damai antara Penguasa Hijaz dan Najd iaitu Raja Abdul Aziz al Sa'ud dan Sayyid al Hasan al Idrisi yang merupakan Penguasa 'Asir.

Di antara karamahnya, beliau mempunyai firasat yang sangat tajam. Beliau pernah mengkhabarkan bahawa tentera-tentera Itali akan keluar meninggalkan Libya setelah dikalahkan dalam keadaan makanan-makanan mereka sedang dimasak di dalam periuk dan ia sememangnya berlaku seperti dikatakan.

Pada 1345 Hijrah, beliau kembali ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah kemudian menuju ke Madinah dan tinggal di sana.

Pada hari-hari terakhir kehidupannya beliau diserang sakit kuat dan demam berlarutan. Keadaan kesihatannya bertambah teruk pada awal musim sejuk bulan Ramadan dan hanya dapat berpuasa selama 10 hari.

Pada 20 Ramadan 1351 Hijrah bersamaan 1933 Masihi, separuh badannya lumpuh dan beliau tidak boleh bercakap selama seminggu.

Kemudian beliau dapat bercakap semula dan mewasiatkan kepada keluarga dan kekasih-kekasihnya yang datang berkumpul.

Setelah itu, penyakitnya nampak agak berkurangan sehingga keluarganya benar-benar berharap beliau sembuh.

Beliau mengerjakan solat sambil duduk dan meminta kekasih-kekasihnya yang hadir supaya membaca beberapa ayat al-Quran seperti Yasin dan qasidah-qasidah yang berkat seperti al Hamziah dan Burdah karya al Imam al Busiri.

Setelah selesai solat Jumaat mereka pun berkumpul di sekelilingnya seperti mana kebiasaan untuk menggembirakan dan menenangkan beliau.

Sayyid Ahmad pun tersenyum kemudian badannya menggeletar dan menggigil. Tidak lama selepas itu, beliau senyap dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi kerana disangkakan tidur atau pengsan.

Sehinggalah doktor mengesahkan kewafatannya iaitu pada pukul 1 petang, Jumaat 13 Zulkaedah 1351 Hijrah bersamaan 9 Mac 1933 Masihi di Zawiyah Sanusiah, Madinah al-Munawwarah.

Setelah dikafankan, ramai datang berpusu-pusu sehingga tidak terkira dan mereka bersesak-sesak untuk mengusung jenazahnya.

Ketika hayatnya, beliau pernah berfirasat bahawa beliau akan disemadikan di al Baqi'. Firasatnya itu tepat dan benar apabila beliau selamat disemadikan di al Dakkah berhampiran dengan pintu tanah perkuburan al Baqi' Madinah di antara makam Sayyidina Ibrahim ibnu Rasulullah SAW dan makam Imam Malik ibnu Anas.

Pemergiannya diiringi dengan pelbagai ucapan dan syair rintihan. Sesungguhnya beliau telah berjihad dan mengorbankan jiwa dan raga pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad.

Beliau pergi dalam keadaan tangannya tidak pernah menyentuh harta, emas ataupun perak.

Setinggi manapun pujian yang cuba diungkapkan bagi menggambarkan keindahan dirinya tetap tidak dapat menggambarkan tentang dirinya yang sebenarnya.