Monday, 4 February 2013

Bijak urus masa penentu kejayaan hidup


Ibnul Jauzi atau nama sebenarnya Abdurrahman bin Abil Hasan Ali bin Muhammad bin ‘Ubaidillah al-Qurasyi, seorang ilmuwan tafsir Quran dan hadis terkemuka sekitar 560 hijrah. 

Pada suatu ketika beliau dipelawa seorang temannya: “Marilah kita sejenak bersembang santai. Namun, dijawab oleh Ibnul Jauzi: Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu. Jawapan itu menunjukkan betapa setiap saat dan detik penting dalam kehidupan manusia. 
Bekerja adalah satu keperluan dan ibadat yang dituntut Allah SWT. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab supaya mendapat balasan baik di dunia dan akhirat. Kerja termasuk dalam ibadah umum kerana ia mempunyai maslahat untuk kepentingan diri, keluarga dan masyarakat. 


Sesetengah berpandangan bahawa kemiskinan dan kedaifan hidup sesuatu yang baik, kononnya lebih merapatkan diri dengan Allah. Tanggapan ini bertentangan dengan amalan hidup orang mukmin yang sepatutnya difahami secara jelas. 

Islam adalah agama kekuatan yang berorientasikan kerja dan amal ibadat untuk berjaya dalam kehidupan. Justeru, masa adalah ukuran penting sebagai perbandingan sama ada manusia beroleh keuntungan atau kerugian sebagai bekalan hidup di dunia serta akhirat. 

Orang mukmin sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan menghabiskannya dengan sia-sia untuk berbual kosong di kedai kopi hingga berjam-jam lamanya. Sebenarnya, tugas mereka lebih besar menjaga dan menanggung nafkah hidup keluarga. 

Justeru, masa terluang dimanfaatkan secara berkesan supaya tidak tergolong dalam golongan manusia yang kerugian. Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang. 
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bekerja untuk menanggung bebanannya, maka dia adalah seperti mujahid di jalan Allah. Sesiapa yang mencari dunia secara halal dalam keadaan menjaga kehormatan diri, maka dia berada pada darjat syuhada.” (Riwayat Tabrani) 

Golongan muda dilihat mempunyai semangat kerja yang tinggi dan bertenaga dalam memenuhi tuntutan agama. Namun, ada sebilangan belia dan remaja yang memilih dunia lepak bagi mengisi kehidupan yang langsung tidak menyumbang apa-apa manfaat. 

Sedangkan dalam agama, bekerja adalah fardu yang sangat dituntut. Sabda Rasulullah SAW: “Bekerja mencari rezeki adalah fardu ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Tabrani) 

Diceritakan pada suatu hari, Baginda SAW sedang duduk bersama sahabat lalu sahabat terlihat seorang pemuda yang kuat yang sejak awal pagi keluar berusaha untuk mencari rezeki. Mereka berkata: “Alangkah baiknya sekiranya pemuda ini menggunakan kekuatan dan kemudaannya itu di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu berkata seperti ini, kerana sesungguhnya jika pemuda itu bekerja untuk mencari bekalan hidup untuk dirinya dan untuk menghalang dirinya daripada meminta-minta, maka dia di jalan Allah. 

Sekiranya dia bekerja untuk menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua dan lemah atau untuk keturunannya yang lemah demi mencukupkan keperluan hidup dan mengelakkan mereka daripada meminta-meminta, maka dia adalah di jalan Allah. Sekiranya dia keluar bekerja kerana riak dan bermegah-megah, maka dia berada di jalan syaitan.” (Riwayat Tabrani).

Credit: Amran Zakaria

No comments:

Post a Comment