Google+ Followers

Thursday, 13 December 2012

Pusat urus mayat terbakar....



Pusat urus mayat terbakar
Api sedang marak membakar pusat pengurusan mayat di Jalan Fatimah, semalam.
BATU PAHAT – Sebuah pusat pengurusan mayat di Jalan Fatimah, di sini terbakar, semalam, bagaimanapun dua mayat yang disimpan di pusat berkenaan berjaya dibawa keluar oleh ahli keluarga masing-masing.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua keluarga serta rakan si mati terbabit sedang berada di pusat berkenaan sebelum api tiba-tiba marak.

Seorang saksi kejadian, Chua Kuek Heng, 50 an berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah bilik tidur yang dihuni kakitangan pusat pengurusan mayat itu.

“Kebakaran berlaku dengan pantas dan ia mengakibatkan hampir keseluruhan premis ini terbakar, yang terselamat hanya bahagian depan premis.

“Mujur dua mayat itu tidak terbakar dan tiada kejadian buruk berlaku akibat kebakaran,” katanya di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengerusi pusat penyimpanan mayat terbabit, Ng Gok Choon berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak premis tersebut beroperasi pada 1952.

“Kami juga sudah melakukan pengubahsuaian membabitkan kos RM200,000 pada 2009.

"Ketika kejadian, saya tiada di lokasi dan bergegas datang ke sini sejurus dimaklumkan.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menentukan punca kejadian," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khaled, Saif Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang.

“Kami menghantar 10 anggota serta pegawai dan dua jentera untuk mengawal kebakaran sebelum api berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kedua-dua mayat yang diselamatkan orang awam daripada terbakar berada dalam keadaan baik.

“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan pihak kami, ” katanya.
Credit: Sinar Harian.