Thursday 6 December 2012

MENANGISLAH UNTUK MELEMBUTKAN HATI


Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila dia membaca ayat-ayat Allah, air matanya tak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh. Manakala Saidina Umar RA pula suka mengingatkan dirinya tentang hari perhitungan. 
Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah SWT kelak. Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata kepada anaknya Abdullah bin Umar RA: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa. Manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya. Rasulullah SAW suatu ketika datang menjumpai para sahabat yang sedang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa.”

Tangisan rahmat dan tangisan azab


1. Dia tidak tahu qadak dan qadar atas dirinya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah ia ke dalamnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Siapakah yang boleh menjamin nama kita adalah termasuk dalam senarai ahli-ahli syurga? Tidakkah hal itu merupakan satu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

2. Menangislah kerana ingat tentang malam pertama di alam kubur.
Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggal sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang-orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anak-anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan yang amat penting. Persoalan-persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan. Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan siksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik? Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini. Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal soleh di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?
2. Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi dia pernah mencaci si fulan, menuduh si fulan, menumpah darah si fulan dan memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang-orang yang teraniaya itu dari pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa-dosa orang-orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.
Bilakah saat dan ketika yang paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar. Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dan menjadi ikutan orang-orang soleh yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubatilah kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.
Credit: Drjuanda.com

No comments:

Post a Comment