Monday 17 December 2012

Membudayakan membaca al-Quran


ANTARA kelebihan penghafal al-Quran adalah mendapat pertolongan syafaat di akhirat dan mendapat 
kemuliaan oleh Allah pada hari kiamat kelak. - Gambar Hiasan

ALLAH SWT telah berfirman dalam ayat 185 surah al-Baqarah bahawa tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia adalah untuk memberi petunjuk dan penjelasan kepada seluruh umat serta menerangkan tentang perbezaan antara hak dan batil.

Malah dalam surah yang sama menerusi ayat kedua dan ketiga, Allah SWT menyatakan tujuan lain al-Quran diturunkan adalah sebagai tanda mukjizat kebesaran Ilahi bahawa tiada keraguan selain menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertakwa.

Menyedari ilmu al-Quran terbentang luas dan konsep kitab suci tersebut sebenarnya bukan hanya dibaca ketika waktu kematian atau mana-mana pertandingan tilawah, maka timbul kesedaran oleh sepasang suami isteri yang mempunyai pengetahuan qiraat untuk menubuhkan dua sekolah tahfiz sejak tiga tahun lalu.

Hasrat seorang tokoh penceramah agama, Asni Mansor dan suaminya, Mohd. Nasir Rustam untuk mewujudkan dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahsin al-Quran khusus bagi lelaki yang terletak di Puchong manakala untuk wanita, Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor adalah usaha mereka untuk membudayakan bacaan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

Jelas Asni yang pernah menjadi hakim dalam sebuah rancangan berbentuk realiti keagamaan, idea menubuhkan dua buah sekolah menghafaz al-Quran juga timbul setelah beliau dan suaminya menjalankan program cuti sekolah 'ala madrasah' sejak 12 tahun lalu, malah wujud permintaan oleh bekas peserta meminati menghafaz al-Quran selepas menyertai aktiviti seumpama itu.

"Hasrat untuk menubuhkan sekolah tahfiz sudah lama terpendam, tetapi usaha untuk ke arah itu memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan menubuhkan sekolah atau pusat pengajian bukan senang kerana memerlukan pengetahuan pengurusan dan komitmen tinggi.
"Akhirnya dimulakan sebuah sekolah tahfiz untuk lelaki dan kemudiannya wanita pada tahun lalu, usaha kami untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan hampir berjaya dengan kewujudan sekolah berkenaan," tambahnya.

Ketika ditanya berhubung sukatan pelajaran yang digunakan, Mohd. Nasir memberitahu, ia sepenuhnya tertumpu kepada menghafaz al-Quran.

Mohd. Nasir Rustam dan Asni Mansor.

Matlamat pihaknya mengadakan sukatan pelajaran seumpama itu agar para pelajar lebih memfokuskan kepada ilmu qiraat dan menumpukan kepada amalan menghafaz.

Sejak ditubuhkan, Mohd. Nasir berkata, sebanyak 48 pelajar lelaki dan 25 pelajar wanita sedang menuntut di dua buah sekolah itu yang ada antara mereka dijangka menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Beliau menyatakan terdapat tiga tahap tempoh pengajian tahfiz iaitu yang pertama selama tiga tahun, kedua empat tahun dan akhir sekali selama empat tahun setengah.
"Mereka dibahagikan mengikut tahap tersebut berdasarkan kemampuan untuk menghafaz al-Quran.

"Alhamdulillah setakat ini, saya melihat semua pelajar berkebolehan dan bersungguh serta usaha menunjukkan mereka mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran," ujar beliau.

Dengan kadar bayaran yuran bulanan RM450 dikenakan untuk pelajar lelaki manakala RM500 bagi pelajar perempuan, Mohd. Nasir berkata jumlah itu meliputi untuk dana semua perbelanjaan dan pengurusan kedua-dua buah sekolah tahfiz itu. Tambah beliau, sukatan kokurikulum pelajar wanita berbeza dengan lelaki dengan ditambah silibus ekonomi rumah tangga.

Asni menjelaskan pada masa kini, sikap menunggu orang ramai datang ke madrasah perlu ditukar dengan madrasah sendiri perlu turun padang menemui masyarakat.

Beliau menjelaskan konsep itu perlu diperhalusi supaya madrasah khususnya sekolah tahfiz lebih dekat kepada masyarakat dan bukan dijauhi.

Ibu bapa yang mempunyai anak berusia 10 tahun ke atas dan berhasrat menghantar mereka ke Madrasah Tahsin al-Quran di Puchong dan Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor boleh menghubungi Mohd. Nasir menerusi talian 019-695 5930.

Credit: JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

No comments:

Post a Comment