Saturday, 1 December 2012

MEMBUANG DAHAN BERDURI DIJALANAN

Hadis Abu Hurairah r.a: 


Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya. 

Baginda bersabda lagi: Mereka yang mati syahid itu ada lima golongan: Mereka yang mati kerana taun, mereka yang mati kerana sakit di dalam perut, mereka yang mati lemas, mereka yang mati di bawah runtuhan bangunan dan mereka yang mati kerana berjuang di jalan Allah.

(Riwayat Muslim, #3538)


RINGKASAN KISAH
    Rasulullah S.A.W telah memberitahu kita bahawa iman itu mempunyai 73 cabangnya yang mana yang paling tinggi adalah kalimah La ilaha IlLallah dan yang paling rendah pula ialah membuang sebarang perkara yang menyakitkan yang berada ditengah jalan.
    Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W telah menceritakan kepada kita bagaimana seorang lelaki yang telah melalui sebatang jalan yang mana dia telah menemui sepotong kayu yang berduri berada di tengah jalan. Dia terus mengambil kayu itu lalu membuangnya bertujuan untuk mengelakkan daripada membahayakan orang ramai yang melalui jalan ini. Allah telah mengampuni dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga kerana perbuatan dan niatnya yang suci itu.
    Lelaki itu berbuat kebaikan yang kecil tetapi ganjarannya begitu besar. Ini menunjukkan kepada kita bagaimana rahmat Allah begitu luas dan kelebihanNya besar. Tindakan dan perbuatan lelaki ini begitu digalakkan oleh agama dan Rasulullah S.A.W sendiri menyuruhnya sebagaimana maksud hadis : Jauhkanlah kesakitan daripada jalan yang dilalui oleh muslimin. Baginda S.A.W juga memberi peringatan yang keras agar kita jangan sama sekali menyakiti para muslimin dengan meletakkan sesuatu yang menyakit serta membahayakan mereka di tengah jalan melalui hadis yang bermaksud : Sesiapa yang menyakiti muslimin pada jalan mereka, wajib ke atasnya laknat mereka.
    Semoga kisah ini mampu menyedarkan hati kita yang sentiasa lupa kepada Allah agar tidak memandang   rendah dan remeh temeh kepada amalan yang kecil dan tidak pula terlalu memandang mudah kepada dosa yang kecil kerana ia akan menjadi besar jika kita melakukannya secara berterusan.

 
PENGAJARAN HADIS
1. Menerangkan bagaimana perbuatan menghindar serta membuangkan perkara yang boleh menyakit dan membahayakan perjalanan muslimin di tengah jalan seperti duri dan sebagainya akan diganjarkan pahala yang besar di sisi Allah.
2. Rahmat Allah begitu luas yang mana Dia telah menganugerahkan pahala yang besar dan memasukkannya ke dalam syurgaNya kerana tindakannya yang tidaklah seberapa iaitu membuangkan duri dari jalan kerana bimbang akan mermbahayakan orang ramai.
3. Kita dilarang memandang remeh kepada amalan yang nampak kecil kerana di sisi Allah ia agak besar jika kita melakukannya dengan penuh keikhklasan.
4. Pokok yang dibenarkan untuk kita memotongnya ialah jika ia boleh membahayakan keselamatan orang ramai. Jika ia memberi kebaikan serta manfaat kepada mereka seperti untuk berteduh maka kita dilarang memotongnya. Rasulullah S.A.W telah memberi amaran kepada mereka yang memotong pokok yang banyak memberi manfaat kepada umum dalam hadis yang bermaksud : Pemotong pokok yang merupakan tempat berteduh akan dihumbankan kepalanya ke dalam neraka.

No comments:

Post a Comment