Saturday 8 December 2012

Mangsa cinta siber marah polis


KUALA LUMPUR: Seorang mangsa sindiket cinta Internet mengamuk memarahi pegawai polis yang menjalankan siasatan sebaik diberitahu dia menjadi mangsa penipuan ‘teman lelaki’ mayanya, malah turut memaksa polis ke Scotland untuk menemui lelaki terbabit yang dikatakan belajar di sebuah universiti.

Meskipun sudah diyakinkan dia ditipu lelaki Afrika melalui jerat cinta Internet namun mangsa enggan mengakui perkara itu sehingga bertindak emosional dan memarahi pegawai yang menjalankan soal siasat.

Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun dan tidak bekerja itu mengenali seorang lelaki Mat Salih melalui laman sosial facebook, Oktober lalu sebelum lelaki terbabit berjanji untuk datang ke Malaysia bertemu mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten Komisioner Kamarudin Md Din berkata, mangsa tidak percaya dia menjadi mangsa jerat cinta Internet seperti yang dilaporkan akhbar dan sanggup bertegang urat mempertahan lelaki terbabit.

Menurutnya, mangsa kerugian RM5,000 selepas memasukkan wang berkenaan dalam akaun bank yang diberikan selepas percaya hadiah istimewa yang dikirimkan teman lelakinya ditahan kastam di lapangan terbang.

“Polis tidak menolak suspek anggota sindiket penipuan cinta Internet yang didalangi lelaki Afrika, tetapi menggunakan watak lelaki Mat Salih bagi mengaburi mangsa.
“Berdasarkan siasatan, mangsa mengaku raut wajahnya yang kurang menarik, tubuh badan yang sedikit gempal serta kurang bersosial antara alasan dia mengejar cinta melalui laman sosial dan Internet,” katanya.

Katanya, suspek berjanji menghantar hadiah kepada mangsa kononnya sebagai bukti kasih sayangnya dan memaklumkan dia datang ke Sabah dalam masa terdekat.

Credit: HMetro

No comments:

Post a Comment