Sunday 16 December 2012

Jacintha salahkan DJ, hospital


thumbnail
LONDON: Jururawat yang membunuh diri selepas diperdaya dua hos radio, didakwa meninggalkan nota dan menyalahkan pemanggil dari Australia itu atas kematiannya. 

Menurut sumber yang rapat dengan keluarga Jacintha Saldanha, mangsa meninggalkan tiga nota sebelum menggantung dirinya.

Kata sumber itu, Jacintha menulis surat ringkas menyatakan rasa marahnya kepada dua penyampai radio Australia itu dan menyalahkan mereka atas tindakannya membunuh diri. Dalam surat lain, katanya, Jacintha, 46, mengkritik kakitangan hospital tempatnya bekerja.

“Jacintha menyebut dua nama untuk dipersalahkan,” katanya. Jacintha ditemui mati dengan lehernya dijerut skaf di kediaman kakitangan Hospital King Edward VII di London, beberapa hari selepas dia menyedari diperdaya penyampai radio.

Dalam kejadian itu, dua penyampai terbabit, Mel Greig dan Michael Christian - menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles untuk mendapatkan maklumat mengenai Kate Middleton.

Duchess of Cambridge itu ditempatkan di hospital berkenaan selepas mengalami masalah kesihatan akibat hamil. Difahamkan, seorang daripada penyampai radio itu menghubungi semula hospital berkenaan dan bercakap dengan Jacintha sambil mengaku menyamar sebelum itu.

Penyampai terbabit turut memaklumkan panggilan berkenaan akan disiarkan di stesen mereka. Pengakuan itu menyebabkan Jacintha “keliru dan gelisah.” Kedua-dua penyampai radio itu meminta maaf atas tindakan mereka selepas Jacintha membunuh diri. 

Sementara itu, Hospital King Edward VII mendakwa, tiada mana-mana kakitangannya menyalahkan Jacintha kerana diperdaya. Malah, kata jurucakap hospital itu, mereka menyokong Jacintha.

Namun, hospital berkenaan percaya, ada antara rakan sekerja Jacintha memarahinya melalui e-mel.

Apabila rakan keluarga Jacintha itu ditanya sama ada mangsa dimarahi rakan sekerja kanannya, dia berkata: “Anda rasa bagaimana?” - 

No comments:

Post a Comment