Saturday 15 December 2012

Gajah sesat diselamatkan



Gajah sesat diselamatkan
Chepor (tengah) dibantu oleh Kala dan Rambai memujuk menaiki lori pengangkutan terbabit yang dikendalikan oleh Unit Tangkapan Gajah, Perhilitan, semalam
LENGGONG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap gajah liar dewasa yang merosakkan tanaman penduduk di beberapa kampung tradisional dalam satu operasi di kawasan Hutan Simpan Piah, Kampung Chepor di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Negeri, Abd Kadir Hashim berkata, gajah seberat 2.5 tan yang diberi gelaran ‘Chepor’ berusia 13 tahun itu dipercayai terpisah dari kumpulannya sebelum tersesat ke kawasan kampung berkenaan untuk mencari makanan.
Menurutnya, pihaknya melakukan operasi menangkap gajah liar itu selepas menerima aduan penduduk setempat yang mendakwa melihat haiwan itu berhampiran rumah mereka.
“Gajah terbabit berjaya ditangkap setelah terpisah dengan kumpulannya yang dianggarkan lapan ekor, manakala tujuh lagi meninggalkannya sebelum ditembak unit tangkapan gajah.

“Operasi menangkap menangkap gajah itu dilakukan seramai 10 kakitangan Unit Gajah Perhilitan Negeri dibantu kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang turut terbabit dengan kerja pemindahan yang bermula Sabtu lalu,” katanya.

Abd Kadir berkata, operasi perpindahan gajah itu menggunakan teknik ‘Center Forest Spin’ (CFS) yang bertujuan untuk membuat kajian mendalam mengenai populasi gajah serta laluan utama habitat terbabit.
Katanya, haiwan berkenaan masuk ke kawasan kampung disebabkan pagar elektrik di sempadan hutan terbabit tidak berfungsi akibat pokok tumbang dan tanah runtuh tambahan pada musim buah-buahan.
“Dalam operasi ini, dua gajah denak dari pusat konservasi iaitu Kala dan Rambai berjaya memujuk Chepor selepas ditembak dengan ubat pelali pada jam 10.30 pagi tadi menuju ke lori pengangkutan yang terletak kira-kira dua kilometer.
“Selepas dua jam membawa gajah menaiki lori diikuti dengan kerja-kerja memasang rantai oleh Unit Tangkapan Gajah, kita akan pindahkan gajah ini ke hutan Taman Negara bagi memberi peluang haiwan ini hidup bebas dalam
habitat asalnya,” katanya.

Kata Abd kadir, operasi perpindahan itu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan gangguan pada pernafasan kerana gajah terbabit masih di bawah pengaruh ubat penenang.

“Jika Chepor jatuh, ia boleh menyebabkan kematian. Gajah itu kemudiannya diberikan rawatan antibiotik kerana mengalami luka sebelum dipindahkan termasuk memasukkan cip ID.

“Kita tidak dapat menyatakan identiti tepat mengenai gajah terbabit dan tempat pelepasannya kerana bimbang menjadi sasaran pemburu haram,” katanya.

CrediT: NOOR’AINON MOHAMED YUSOF

No comments:

Post a Comment