Monday, 23 September 2013

Wanita tua dukung suami selamat diri dalam kebakaran

Simpang Renggam: Seorang wanita berusia 72 tahun bagaikan mendapat kuasa luar biasa apabila mendukung suaminya yang kudung sebelah kaki, menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Haji Noor, dekat sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, Misnah Tabri, nekad mendukung Harun Badar, 78, dan keluar menerusi pintu dapur apabila menyedari rumah papan mereka terbakar.



Anak bekerja 

Ketika itu, anak bongsu yang tinggal bersama mereka, Fauzi, 38, keluar bekerja di Johor Bahru. 

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Nizam, 48, berkata ibunya yang menyedari kebakaran itu selepas mendengar jeritan jiran, kini trauma dan enggan ditemubual media. 



Api merebak pantas 
“Api merebak pantas kerana sebahagian rumah ini dibuat daripada papan dan berusia lebih 10 tahun. 


“Walaupun tinggal sehelai sepinggang, kami bersyukur kerana mereka berdua selamat walaupun kerugian kira-kira RM50,000 apabila hampir semua rumah musnah,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohamad Adam, berkata pihaknya menerima laporan jam 11.17 malam dan ketika tiba di lokasi, hampir 90 peratus rumah berkenaan sudah musnah terbakar. 

“Api berjaya dikawal 10 minit kemudian. Kebakaran dipercayai berpunca daripada aliran elektrik dalam rumah tetapi siasatan masih dijalankan,” katanya. 

Sementara itu, Pusat Perkhidmatan Parlimen Simpang Renggam, menghulurkan bantuan segera RM500 kepada pasangan berkenaan bagi meringankan beban mereka selain melancarkan tabung khas bagi mengutip dana membantu keluarga terbabit membina semula rumah yang musnah.

No comments:

Post a Comment