Monday, 2 September 2013

Mengingati mati dorong Mukmin tingkat amalan

Kehidupan dunia ibarat kebun, hasil dituai di akhirat

Mengingati kematian antara perkara yang sering dilupakan kebanyakan Muslim kerana mereka tidak mahu memikirkan kesusahan menghadapi sakaratulmaut, dosa, pahala, amalan yang telah dilakukan, alam kubur, kebangkitan, hisab amalan, titian, timbangan, syurga dan neraka.


Hal ini berlaku kerana mereka beranggapan perkara ini tidak penting bagi sebuah kehidupan. Lebih dukacita lagi apabila timbul perasaan tidak mahu mengambil tahu mengenai hal kematian. Bahkan ada dalam kalangan umat Islam yang cukup takut untuk membicarakannya.

Takut, salah faham terhadap kematian

Disebabkan tanggapan itu, timbul sifat ketakutan, salah faham dan pandangan negatif terhadap konsep kematian. Bukan setakat itu, ada yang berusaha untuk melupakan terus perkataan ‘mati’ daripada fikiran mereka.

Lantas mereka berasa bebas untuk melaksanakan apa saja di dunia ini, bebas untuk tidak melaksanakan perintah Allah SWT dan bebas melakukan segala larangan-Nya.

Hakikatnya, tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang ragu-ragu mengenai kematian, begitu juga tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang dapat lari daripada kematian pada saat yang telah ditetapkan ajalnya. 
Namun, sangat ramai dalam kalangan umat Islam yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain dan bukan untuk mereka. Hal ini kerana hati yang sudah terlalu mencintai dunia.

Terlalu mencintai dunia dan menjadikan dunia sebaik-baik tempat untuk mereka mencurahkan perhatian, ramai menghabiskan setiap waktu, tenaga, pemikiran untuk urusan dunia tanpa melakukan perkara yang memberi manfaat kepada kehidupan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jangan sekali-kali bersikap demikian. (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya; Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dulu se diakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini). Maka pada hari itu tiada sesiapa pun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah; Dan tiada sesiapa pun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya.” (Surah al-Fajr, ayat 21-26) 

Menurut ulama Islam tersohor Mustafa Masyur, beberapa perkara akan berlaku dalam kehidupan jika kematian tidak diingati antaranya manusia bebas memenuhi syahwatnya, berasakan kebahagiaan rumah tangga terletak pada kebendaan dan hanya menitikberatkan kesihatan badan.

Mengutamakan keperluan jasad berbanding keperluan roh, sikap pentingkan diri, bakhil, amat tamakkan ganjaran dunia, berlumba-lumba dalam kebendaan, bertabarruj serta melakukan kezaliman.

Islam memberi nilaian yang lain dan cukup jelas mengenai kematian. Nilaian diberikan Islam lebih istimewa berbanding nilaian difikirkan oleh manusia kerana secara nilaian nafsu, manusia tidak akan suka membicarakan kematian.

Nafsu akan berusaha menarik manusia takut kepada kematian dan sukakan kehidupan. Menerusi bimbingan nafsu, hati manusia itu akan sentiasa tertarik kepada dua perkara iaitu kehidupan dan harta benda.

Akibat tak mengingati mati

Akibat paling buruk daripada tidak mahu mengingati kematian adalah Allah SWT mencabut ketakutan dari dalam jiwa musuh-musuh Islam terhadap orang Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah wahan itu ya Rasulullah? Nabi bersabda: Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” (Riwayat Muslim) 

Manusia yang hatinya tidak dididik dengan akidah dan keimanan, tidak akan suka mendengar perbicaraan mengenai kematian. Sehingga boleh dikatakan orang yang dalam keadaan nazak sekalipun tidak akan suka mendengar mengenai kematian.

Sebenarnya, anjuran supaya banyak mengingati mati bukan bertujuan melemahkan umat Islam serta meninggalkan terus urusan keduniaan. Galakan supaya mengingati mati juga bukan bertujuan menyaran umat Islam supaya minta cepat mati.

Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita supaya cepat mati, malah perbuatan sedemikian sangat dilarang. Sebaliknya, memikirkan kematian disaran untuk mendorong setiap Muslim mempunyai wawasan hidup dunia dan akhirat yang jelas.

Mempunyai semangat yang kuat dan beristiqamah menelusuri perjalanan hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Kehidupan dunia ibarat kebun tempat kita bercucuk tanam yang hasilnya akan dituai pada hari akhirat kelak.




Credit: Dr Mohd Shukri Hanapi

No comments:

Post a Comment