Tuesday, 3 September 2013

Indahnya Islam Di Bosnia-Herzegovina


Masjid Hadzi-Alija di sebuah kampung di Pocitelj, Bosnia Herzegovina. FOTO: PERSATUAN PELANCUNGAN PERSEKUTUAN BOSNIA & HERZEGOVINA

PADA 28 Jun 1914, pemimpin Austria, Archduke Franz Ferdinand dan isterinya yang sedang sarat mengandung ditembak mati di persimpangan jalan Obala Kulina dan Zalenih Beretki berhadapan dengan Jambatan Latin, di Sarajevo. Tembakan itu, yang dilakukan oleh seorang nasionalis berbangsa Serb, mencetuskan permulaannya Perang Dunia Pertama. 
Sebulan selepas pembunuhan itu Austria dan Hungary membuat pengisytiharan perang terhadap negara Serbia disusuli negara-negara lain di Eropah yang mula berpihak-pihak.
Apabila perperangan bertambah buruk, semakin banyak negara Semenanjung Balkan yang terheret sama dalam peperangan itu dan lama-kelamaan hampir seluruh Eropah terlibat dalam peperangan. 
Hampir 27 tahun kemudian, pada tahun 1941, Semenanjung Balkan sekali lagi menjadi saksi pertumpahan darah, kali ini dalam Perang Dunia Kedua pula. Panglima Marsyal Tito bagi Yugoslavia berjuang bermati-matian, menentang tentera Jerman daripada menduduki tanah airnya. 
Bagaimanapun selepas beliau meninggal dunia pada 4 Mei 1980, negara bersekutu Yugoslavia mula retak dan akhirnya berpecah. 
Salah satu wilayah iaitu Bosnia-Herzegovina mengisytiharkan kemerdekaannya, selepas satu pungutan suara, pada Jumaat 1 Mac 1992.
Selepas itu Serbia melancarkan perperangan ke atas Bosnia-Herzegovina. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada negara yang dahulunya dikenali sebagai Yugoslavia.
Peperangan dan keganasan berlaku sekali lagi di bumi Bosnia. ‘Pembersihan kaum’ oleh tentera dan separa tentera di timur Bosnia memaksa ribuan orang Muslim meninggalkan rumah kediaman mereka. Selepas tiga tahun setengah pertempuran berhenti setelah Persetujuan Damai Dayton dimeterai.
Menurut Persatuan Palang Merah, seramai 7,000 nyawa terkorban sepanjang peperangan itu, meskipun dipercayai angka kematian dan mereka yang hilang lebih tinggi daripada itu.
Tidak menghairankan kerana sewaktu perang pengepungan Sarajevo, bandar itu dibedil bertubi-tubi setiap hari dengan senjata berat. 
Kemusnahan yang berlaku amat dahsyat. Terowong ditebuk sepanjang 800 meter di bawah landasan lapangan terbang untuk menyelamatkan bandar itu.
Bekalan minyak, makanan, tenaga elektrik, kabel perhubungan, senjata dan peluru dan lain lain keperluan dibawa masuk menerusi terowong itu.
Meskipun berdepan dengan cabaran yang amat besar, sepanjang tiga tahun setengah, semangat juang dalam kalangan penduduk Bosnia terus membara, menentang pencerobohan tersebut.
Semangat ini mematahkan percubaan negara jiran penceroboh yang lebih besar dan kuat dalam percubaan mereka hendak memusnahkan negara Bosnia-Herzegovina. Demikian cebisan ringkas sejarah bergelora di Bosnia, yang kini merupakan sebuah negara merdeka.
Negara persekutuan yang asal hancur dek perbalahan perkauman. Muncul Bosnia-Herzergovina – negara tunggal yang bangkit daripada debu perperangan etnik itu.
Menurut laporan Pembangunan Kemanusiaan UNDP 2002, 40 peratus penduduk negara itu beragama Islam. Kini, Bosnia-Herzegovina sudah lama meninggalkan sejarah keganasannya. Kian ramai pelancong melawat negara itu. Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan merupakan antara mereka yang bertuah sampai ke bumi Bosnia.
Di sana, kami sempat bersolat di masjid Gazi Husrev di Sarajevo yang dibina dalam tahun 1530. Masjid dapat dilihat di serata Bosnia.
Kami juga ke Mostar dan sempat melawat Madrasah Karajozbeh dan berjumpa dengan pengurusnya, Profesor Nazif Garib. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan dan melintasi sempadan sekali lagi ke satu negara baru iaitu Croatia dan berkunjung ke bandar indahnya, Dubronik, yang terletak di tepi Laut Andriatic.
Tidak seperti di Bosnia-Herzegovina, di seluruh Croatia hanya terdapat sebuah masjid sahaja dan ia terletak di Dubronik. Ketika kami ke sana, kunjungan kami disambut imam masjid tersebut. Kami kemudian menunaikan solat Jumaat dengan penduduk Muslim Croatia. 
Alhamdulillah, Pak Imam memberitahu kami yang Muslim di Croatia baru sahaja mendapat kelulusan untuk membina sebuah lagi masjid di Croatia. Seluruh perjalanan kami dihiasi dengan pemandangan indah.
Keindahan Semenanjung Balkan ini bak lukisan – tidak seperti keadaan hubungan antara kaum yang masih tegang meskipun keadaannya sekarang kian beransur pulih dan keharmonian kini mula kembali daripada saki-baki debu peperangan. 
Seiringan dengan hubungan yang kian utuh, bangunan-bangunan di semenanjung itu juga mula kembali tersergam setelah bertahun lamanya menjalani kerja-kerja baik pulih.
Namun, yang paling menarik bagi saya dan teman-teman ialah di sebalik sejarah kemusnahan dan kini kebangkitannya, syiar Islam terus hidup dan mekar di bumi Bosnia- Herzegovina.


Credit: JAILANI ROHANI/cyberita.asia1.com.sg

No comments:

Post a Comment