Sunday 29 September 2013

Keunikan Kompleks As-Saadah

Kompleks As-Saadah diharap menjadi salah satu simbol dan mercu tanda di Negeri Sembilan.

MELANGKAH masuk ke dalam pintu utama Kompleks As-Saadah bagaikan memasuki pintu dua dimensi yang membawa pengunjung terus ke Tanah Besar China.

Mungkin bagi mereka yang tidak tahu, pastinya akan menganggap kompleks yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan dengan keluasan 1.78 ekar itu dibina bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan bagi kaum Cina.




Namun, siapa sangka kompleks yang dibangunkan dengan berpaksikan konsep seni bina tradisional masyarakat Cina itu merupakan pusat kegiatan mualaf untuk menimba ilmu dan memahami serta mendalami ajaran Islam sebenar.

Yang Dipertua Kompleks As-Saadah, Abdul Halim Lin Abdullah berkata, menggabungkan seni bina masyarakat di negara China dan Masjid Xian, yang terletak di wilayah Selatan negara itu, Kompleks As-Saadah diyakini menarik lebih ramai saudara baru terutamanya bangsa Cina untuk mendekati Islam.



Beliau berkata, ini kerana seni bina merupakan salah satu faktor yang dapat mempengaruhi fikiran manusia untuk memahami dasar keterbukaan Islam yang tidak tertumpu kepada sesuatu kaum atau bangsa sahaja.

"Reka bentuk Kompleks As-Saadah yang diambil berpandukan seni bina budaya negara China ini bukanlah untuk menjadi kebanggaan semata-mata, tetapi ia merupakan strategi dalam berdakwah kepada bukan Islam terutamanya golongan Cina.

 

"Dengan terbinanya kompleks ini, ia secara tidak langsung membuktikan kesempurnaan dan keterbukaan agama Islam yang tidak menghalang umatnya untuk mengamalkan konsep kebudayaan masing-masing mencakupi masyarakat seluruh dunia," katanya.



Mula beroperasi sejak Mac 2011, Kompleks As-Saadah yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Kegiatan Saudara Baru, Negeri Sembilan telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 Januari tahun lalu.

  

Lengkap dengan laman tradisi seni bina China dan menara pagoda, konsep reka bentuk Kompleks As-Saadah yang merupakan cetusan idea Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan itu menelan belanja RM7.76 juta dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

 

Antara kemudahan yang disediakan termasuk dewan solat yang memuatkan 300 orang, pejabat Muslim Reverts' Association (MRA) dan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), dewan serbaguna, dewan makan, bilik mesyuarat, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, asrama dan juga kuarters mubaligh.

 

Abdul Halim berkata, penubuhan Kompleks As-Saadah juga secara tidak langsung mengubah persepsi bukan Islam di negara ini yang dilihat 'takut' untuk mendekati rumah ibadah umat Islam.



"Bagaimana ingin memeluk Islam, sedangkan kita takut untuk mendekati rumah ibadat agama Islam? Ini merupakan permasalahan yang dihadapi oleh kelompok bukan Islam untuk mendapatkan maklumat dan mengenal agama Islam dengan lebih terperinci.

"Kebanyakan daripada mereka menganggap masjid atau surau adalah hanya untuk orang Melayu dan pengikut beragama Islam sahaja. Ini boleh membantutkan keinginan mereka untuk mengetahui mengenai agama Islam.



"Tetapi dengan terbinanya kompleks ini, kita mengalu-alukan dan menggalakkan kepada semua masyarakat sama ada beragama Islam atau bukan Islam untuk datang mendapatkan maklumat mengenai Islam di sini," ujar beliau.

Tambahnya, Kompleks As-Saadah diharap menjadi simbol dan mercu tanda di Negeri Sembilan sebagai lokasi bagi saudara baru mempelajari dan mendalami ajaran Islam dengan mengikuti perkhidmatan yang ditawarkan di kompleks ini.

"Penubuhan kompleks ini memberi gambaran bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan penyediaan kemudahan dan prasarana yang sempurna bagi kegunaan saudara baru di negara ini khususnya di Negeri Sembilan.

"Ia juga boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang berminat untuk mendekati atau mendalami agama Islam dan terbuka kepada bukan Islam, saudara baru dan juga sudah memeluk Islam," jelasnya.


Urus perkahwinan

Bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kelas pengajian agama, Kompleks As-Saadah turut menganjurkan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bersama saudara baru.

Abdul Halim berkata, antara aktiviti yang diadakan termasuklah membantu dan menguruskan perkahwinan bagi golongan mualaf sehingga sempurna.



"Kompleks As-Saadah menawarkan kelas pengajian agama seperti kelas fardu ain, panduan solat berjemaah, pengajian akidah dan pengajian al-Quran secara percuma pada setiap hari. Bukan sahaja kepada saudara baru, malah kelas bagi mereka yang telah lama memeluk Islam turut disediakan.



"Di samping itu, kita turut menyediakan perkhidmatan membantu menguruskan majlis perkahwinan bagi saudara baru sehingga selesai dengan khidmat juru nikah, lokasi dan pengurusan majlis.



"Ini kerana, kebanyakan saudara baru yang memeluk Islam belum mengetahui kaedah melangsungkan perkahwinan mengikut cara Islam, begitu juga terdapat segelintir mereka yang disisih oleh keluarga sendiri," katanya.



Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak amalan budaya masing- masing jika ingin dilakukan selagi tidak bertentangan dengan syariat ajaran Islam.



"Mengikut budaya kaum Cina, kita tidak menolak sebarang amalan turun temurun jika ingin diamalkan, sebagai contoh majlis minum teh bersama ketika atau selepas perkahwinan.



"Ia tidak menyalahi ajaran agama Islam, malah bertujuan untuk menunjukkan penghormatan di samping mengeratkan hubungan antara keluarga kepada saudara baru," ujarnya.

No comments:

Post a Comment