Wednesday 18 September 2013

Pelajar Mesir boleh masuk IPTA, IPTS

Putrajaya: Kabinet semalam memutuskan pelajar Malaysia dari universiti di Mesir boleh menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerusi pemindahan kredit.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tawaran sekali saja atau one-off itu adalah bagi pelajar perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam serta tidak membabitkan pelajar mengikuti program klinikal dalam bidang perubatan serta pergigian.


“Tawaran pemindahan kredit adalah berdasarkan prinsip parallel (selari) dan minus one rule (peraturan tolak satu). 

“Ini bermakna bagi pelajar dalam tahun empat pengajian di Mesir, akan masuk tahun tiga di negara kita kerana di Mesir, contohnya, bidang perubatan mereka ialah enam tahun tapi di Malaysia lima tahun sebab kita tidak ada matrikulasi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

“Untuk menampung pelajar tambahan ini, nisbah antara pensyarah dan pelajar yang kini 1:4 juga ditambah kepada satu pensyarah bagi lapan pelajar (1:8),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Langkah alternatif

Beliau berkata, ia adalah langkah alternatif kepada pelajar terbabit, tetapi kerajaan tidak menghalang jika ada pelajar yang memilih kembali semula ke Mesir. 


Kerajaan membawa pulang 2,719 pelajar Malaysia dari Mesir secara sukarela sejak 21 Ogos lalu menerusi Ops Piramid II, manakala 583 pelajar masih berada di negara itu.

Tubuh jawatankuasa
Bagi melicinkan segala urusan, satu Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan dianggotai wakil Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, Lembaga Farmasi Malaysia serta agensi penaja kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turut ditubuhkan.

Jawatankuasa itu berfungsi merancang, menyelaras dan menguruskan hal berkaitan pengajian serta pemindahan kredit, manakala Education Malaysia di Mesir bertanggungjawab dalam pengesahan dokumen berkaitan pemindahan kredit seperti keputusan peperiksaan, selain transkrip pelajar untuk memasuki IPT di sini.

“Pelajar boleh memilih IPT, tetapi tumpuan kepada IPT swasta kerana ruang terhad di IPT awam. Senarai 29 IPT yang mengambil bahagian boleh didapati menerusi laman web kementerian.

“Sekiranya IPT yang dipilih pelajar sudah penuh, pelajar akan ditempatkan ke IPT lain yang ditetapkan kementerian,” katanya.

Idris berharap penaja pelajar terbabit akan meneruskan pembiayaan sehingga mereka dapat menghabiskan pengajian di sini.

“Bagi memastikan mereka tidak menghadapi kekangan kewangan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membenarkan pinjaman sehingga RM150,000 bagi setiap pelajar terbabit,” katanya.

Pelajar yang berminat meneruskan pengajian di IPT tempatan diminta berdaftar dengan jawatankuasa berkenaan di Kementerian Pendidikan di No 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Putrajaya bermula 24 September hingga 8 Oktober ini.

Pendaftaran juga boleh dilakukan melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan: http://www.moe.gov.my/ atau menghubungi di Bilik Operasi Kementerian Pendidikan di talian 03-88706611 dan 03-88706627.



Credit: Magendran Rajagopal

No comments:

Post a Comment