Saturday, 7 September 2013

Setiap amalan baik dikira sedekah

Allah SWT berjanji tidak akan mempersia-siakan setiap amalan baik yang telah dilakukan hamba-Nya bahkan perbuatan baik akan mendapat ganjaran setimpal malah lebih baik daripada apa yang dilakukan iaitu hidup selamat di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih (baik), sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan beriman, sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami balas kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97).
Perbuatan baik yang boleh memberi kepuasan dan membahagiakan hati orang lain ternyata banyak antaranya amalan suka bersedekah. Amalan ini tidak dapat dilakukan jika hati berjerebu, penuh dengan kebakhilan dan sukar untuk bersyukur kepada Allah SWT. 


Ada segelintir yang cetek fahamannya menganggap sedekah itu hanya dalam bentuk wang atau benda. Sedekah justeru semua perbuatan yang dapat memberi manfaat atau faedah kepada orang lain. 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi di tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, kamu menolong orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan ke masjid untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Mengeluarkan kata yang baik seperti memberi nasihat, mengajar ilmu bermanfaat bersumber daripada al-Quran atau hadis, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat perkara melanggar syariat juga adalah sedekah. 


Mengawal lidah 
Orang yang boleh mengawal lidahnya daripada tergelincir akan mendapat balasan baik daripada Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia lain) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114) 

Inilah sebenarnya antara ciri-ciri seorang Muslim beriman, selalu mengeluarkan kata-kata yang baik dan tidak suka mengeluarkan kata tidak berfaedah, berbohong, menabur fitnah yang hanya merosakkan ikatan silaturahim dan perpaduan ummah. 

Sabda Rasulullah SAW: “Manusia tidak akan teguh imannya, sebelum hatinya teguh dan tidak akan teguh hatinya sebelum lidahnya teguh.” (Riwayat Ahmad) 

Justeru, kita hendaklah sentiasa melakukan apa saja bentuk kebaikan seperti sedekah demi menjaga kebajikan orang lain kerana amalan itu sangat dituntut. Lakukan sekadar kemampuan yang ada sebaik-baiknya dan penuh ikhlas serta mengharapkan keredaan Allah SWT. 

Sesungguhnya orang yang melakukan kebaikan pasti menerima ganjaran pahala daripada Allah SWT manakala orang yang enggan berbuat demikian kerana terperangkap dengan ajakan nafsu termasuk golongan orang yang rugi serta mendapat kemurkaan Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, apakah Kami akan beritahu kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)

No comments:

Post a Comment