Thursday, 5 September 2013

Peperiksaan Ulangan Universiti Kaherah Di UPM Mulai Selasa Ini



    KUALA LUMPUR: Peperiksaan ulangan bagi pelajar tempatan yang belajar di Universiti Kaherah, Mesir akan diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) selama seminggu mulai Selasa ini.
    Menurut Kementerian Pendidikan, seramai 121 pelajar terlibat dalam peperiksaan tersebut dan mereka dinasihati untuk melayari laman web sektor Pengajian Tinggi iaitu www.mohe.gov.my/egyptcrisis untuk menyemak jadual peperiksaan dan senarai nama yang terlibat.
    Sementara itu, satu sesi taklimat dan perjumpaan antara pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir dengan badan-badan profesional termasuk pihak institusi pengajian tinggi tempatan yang menawarkan bidang pengajian dalam bidang perubatan, farmasi dan pengajian Islam akan diadakan Khamis ini, menurut kenyataan kementerian itu, Khamis.
    "Perjumpaan ini dibuat sebagai satu platform bagi pelajar mendapatkan maklumat jika mereka berminat untuk meneruskan pengajian di Malaysia," katanya.
    Perjumpaan tersebut akan diadakan di Dewan Za'aba, kementerian tersebut yang terletak di Presint 5, Putrajaya dari jam 8 pagi hingga 5 petang, dan terbuka kepada para pelajar dan ibu bapa mereka.
    Menyentuh mengenai pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada 21 Sept ini di universiti mereka di Mesir, kementerian itu meminta pelajar berkenaan supaya membuat pertimbangan sendiri untuk pulang ke negara itu.
    "Namun KPM menasihati supaya mereka sentiasa berhati-hati, tidak terlibat dengan mana-mana perhimpunan atau demonstrasi, dan sentiasa berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Kaherah kerana nota perjalanan ke Mesir yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri masih berkuat kuasa," katanya.
    Untuk sebarang pertanyaan, pelajar boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Pendidikan di talian 03-88706611 dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau melalui emel. -BERNAMA

    No comments:

    Post a Comment