Saturday, 14 September 2013

Bahana egois

Sifat ego adalah penyakit dalaman. Ia subjektif dan tidak boleh digambarkan melalui visual atau perkataan. Mengikut istilah bahasa Melayu, ego ertinya sombong atau ang­kuh manakala pengertian dalam bahasa moden ialah ego. Sikap ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun dapat dikesan melalui perilaku dan perbuatan seseorang. Dengan kata lain, sifat ego ada sebab dan kesannya.
Jelas, sikap ego wujud dalam diri setiap manusia. Namun ia bergantung kepada tahap ego seseorang dan cara dia mengawalnya untuk diterima masyarakat. Jika tinggi ego seseorang, dia akan dipandang rendah. Meskipun tidak dapat dilihat, sikap dan tanda yang terserlah itulah dapat kita mengenali seseorang dan sifat egonya.

Kenapa?
Mengapa sikap ini wujud? Antara sebab­nya hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan, contohnya ketinggian ilmu. Individu yang ego menyangka mereka hebat kerana memiliki ilmu yang tiada pada orang lain dan berasa bangga dengan pencapaian diri. Akhirnya, mereka merasakan kedudukan lebih tinggi daripada orang lain sehing­ga tidak mahu berkongsi ilmu terbabit. Selain itu, yang biasa berlaku adalah kerana memiliki harta yang banyak.
Selalunya, lelaki sering dikaitkan dengan sikap ego namun hakikatnya, wanita juga mempunyai ego tersendiri. Tak kisahlah sama ada lelaki atau perempuan, biasanya sikap ini terserlah apabila memberi pendapat. Ia berlaku kepada sesiapa saja. Si egois merasakan ideanya hebat manakala idea orang lain semuanya tidak berguna. 

Begitu juga dalam perbalahan, sikap ego menjadikan seseorang itu tidak mahu mengalah atau memujuk sebaliknya merasakan diri mereka sentiasa betul. Selain itu, orang yang ego biasanya seorang yang pantang dicabar. Tak kira dari aspek apa sekali pun dia akan cuba menyelesaikan cabaran kerana tidak boleh menerima kekalahan.


Ciri-ciri

Kita boleh kesan ego seseorang melalui percakapan dan perbuatannya. Sebagai contoh, si egois akan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Selain sikap degil, dia akan cuba melakukan semua perkara sendirian kerana tidak mahu dipandang lemah. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau itu pandangan orang yang lebih rendah daripadanya sama ada umur, pang­kat atau lain-lain lagi.

Selain mudah meradang, mereka akan cuba untuk tidak mengaku kesalahan dilakukan. ‘Maaf’ adalah perkataan paling sukar diung­kapkan. Untuk menjadikan diri yang terbaik, mereka cuba sedaya upaya untuk pastikan diri tidak melakukan sebarang kesilapan. Kurang memikirkan perasaan orang lain dalam tutur kata atau perbuatan malah lebih teruk apabila ucapan ‘terima kasih’ jarang sekali diungkapkan, itu antara ciri-ciri individu ego yang boleh dikatakan makin bercambah pada zaman sekarang.

Memilih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf . Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat.


Perlu matang

Jika seorang kanak-kanak menerima belaian kasih sayang sempurna daripada keluarganya, pemahaman mengenai betapa pentingnya nilai kasih sayang dan sifat bantu hormat menghormati akan membantunya menjalin perhubungan baik dengan orang sekeliling. Mereka yang tidak mendapat belaian dan kasih sayang sewaktu kecil akan mengalami permasalahan menyesuaikan diri apabila usia meningkat.

Peringkat remaja dikatakan golongan yang mencari-cari identiti mereka sendiri, oleh itu jika fasa kanak-kanak mereka dilanda perasaan cemas dan pernah ditipu maka pada peringkat remaja nanti, mereka mengalami kesukaran untuk menjalin hubungan harmoni antara satu sama lain. Ketika inilah akan wujudnya sikap ego makin menebal sehingga membuatkan mereka rasa sudah cukup matang untuk menjalani hidup sendiri tanpa perlu nasihat orang lain. Semakin dia membesar, dia akan lebih pandai mengawal sikap ego dan berusaha untuk sesuatu lebih baik.

Dari teori psikodinamik, Freud mengemukakan pendapat bahawa seseorang akan berjaya jika dia mempunyai ego tetapi ia haruslah bersifat matang kerana ego itu akan mengawal pemikiran, emosi dan perilakunya supaya tidak terjebak dengan sebarang gangguan jenayah. Contohnya, apabila dia bernafsu untuk mendapat sesuatu dengan segera, egonya akan membantunya mengatasi dilema itu.


Ubah persepsi

Tanggapan mengatakan lelaki yang melakukan tugas wanita seperti memasak, membasuh baju dan menjemur pakaian kurang macho atau hilang sifat kejantanan dianggap kurang tepat dan tidak lagi relevan pada zaman moden ini. Kenyataan itu sering disuarakan kaum lelaki kerana merasakan kerja rumah sinonim dengan wanita.

Sebenarnya, persepsi seperti ini boleh diubah dan ia memerlukan keyakinan diri yang kuat apatah lagi membabitkan maruah si lelaki. Begitu juga bagi wanita yang sering dikaitkan dengan sikap ego apabila berada dalam kedudukan tertinggi contohnya dalam sesebuah syarikat. Mendengar isi hati dan pendapat orang bawahan tidak menjatuhkan reputasi anda malah meninggikan lagi rasa hormat orang sekeliling.

Tiada salahnya untuk bersikap ego kalau berniat baik, contohnya jika anda menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin. Kita perlu saling tegur menegur untuk kebaikan bersama tapi perlulah secara rasional bukannya emosional.


Susah dapat kekasih

Jika berpasangan, mana ada orang yang suka dan tahan bila kekasihnya ada sikap ego yang tinggi. Biasanya orang terlalu ego akan keras kepala, yang dia tahu hanya dia saja yang betul. Kalau tiap hari bergaduh rasanya hubungan pun takkan kekal lama malah orang lain pun akan takut mendekati anda.


Credit:  Shuhada Mansor

No comments:

Post a Comment