Monday 16 September 2013

Ulama tersohor Indonesia, Habib Munzir meninggal dunia


JAKARTA 16 Sept. - Ribuan umat Islam memenuhi Jalan Pasar Minggu, Jakarta Selatan di sini hari ini untuk bersama-sama memberikan penghormatan terakhir dan mengikuti solat jenazah untuk ulama tersohor Indonesia, Habib Munzir al Musawa yang meninggal dunia semalam.

Habib Munzir yang juga pengasas pertubuhan Majlis Rasulullah, meninggal dunia setelah terjatuh di bilik air di rumahnya pada petang Ahad lalu.

Allahyarham sebelum itu menderita penyakit radang otak.

Sejak awal pagi ini, umat Islam yang menganggotai Majlis Rasulullah berhimpun di Kompleks Makam Habib Kuncung, di Rawajati, Jakarta Selatan untuk menyertai majlis pengebumian Allahyarham Habib Munzir.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan isteri, Ani Yudhoyono sebelum itu turut memberikan penghormatan terakhir kepada Habib Munzir di kediaman Allahyarham di Kompleks Liga Mas, Jalan Cikoko Barat II, Kalibata, Jakarta Selatan.



Habib Munzir merupakan ketua Majlis Rasullullah iaitu majlis zikir terbesar di Jakarta yang menghimpunkan sejumlah umat Islam pada hari Selasa setiap minggu untuk berzikir.

Menurut Susilo, pemergian Habib Munzir merupakan kehilangan besar kepada negara kerana Allahyarham merupakan seorang ulama muda yang bijaksana.



"Ketika beberapa kali menyertai majlis Maulidur Rasul bersama Allahyarham, saya melihat beliau adalah seorang ulama muda yang arif, bijaksana serta mencintai keadilan," jelasnya.



Habib Munzir atau nama sebenarnya, al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa atau lebih dikenali dengan Munzir bin Fuad bin Abdurrahman Almusawa yang lahir di Cipanas, Cianjur, Jawa Barat menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun.

Allahyarham merupakan anak keempat daripada empat adik-beradik dari pasangan Fuad bin Abdurrahman al-Musawa dan Rahmah binti Hasyim al-Musawa.

Dalam ucapan belasungkawa itu, Susilo turut meminta semua ahli Majlis Rasulullah agar meneruskan pertubuhan yang diasaskan Allahyarham pada tahun 1998 itu.

No comments:

Post a Comment