Monday, 30 September 2013

Penumpang buka pintu kecemasan pesawat kerana kepanasan



JAKARTA 30 Sept. - Seorang penumpang pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air bertindak membuka pintu kecemasan pesawat itu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Manado, Sulawesi Utara pada Isnin, dengan alasan penyaman udara tidak dingin.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi ketika pesawat berkenaan sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi perjalanan Manado-Jakarta pagi ini.

Perbuatan penumpang itu menyebabkan juruterbang mengembalikan pesawat ke tempat letaknya, serta menurunkan semua penumpang, lapor portal berita kompas.com pada Isnin.

Penumpang berkenaan dilapor bertindak membuka pintu kecemasan kerana bantahan para penumpang mengenai keadaan panas dalam kabin pesawat yang telah mereka dilaporkan kepada pramugari dan juruterbang, tidak ditangani.

Waktu berlepas penerbangan itu yang tertunda selama hampir sejam menyebabkan para penumpang tidak tahan berada dalam kabin pesawat itu, dan mereka memohon supaya diturunkan daripada pesawat itu.
"Kira-kira 30 minit kami histeria dengan suasana itu. Bukannya melayani bantahan kami, juruterbang malah menggerakkan pesawat ke kedudukan take-off (kedudukan bersedia untuk berlepas)," seorang penumpang dilaporkan berkata.

Ketika itulah seorang daripada penumpang bertindak membuka pintu kecemasan pesawat.

Sehingga pukul 1 petang ini, semua penumpang masih berada di lapangan terbang itu dan mereka tidak dimaklumkan sama ada akan mendapat pesawat ganti atau tidak, lapor portal berita itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment