Friday, 27 September 2013

Umat Islam mesti elak bertelagah hal-hal remeh

Salah satu matlamat utama dakwah Islamiah adalah untuk merubah manusia kepada keadaan yang lebih baik. Pengertian baik itu membabitkan aspek zahir, batin manusia juga mencakupi ruang lingkup ilmu pengetahuan, teknologi, politik, ekonomi dan budaya. 

Kekuatan umat Islam dalam kesemua aspek yang disebutkan itu akan meletakkan mereka dan Islam secara keseluruhannya di tempat lebih baik serta menjadi perhatian.


Jika ini tercapai, umat Islam akan mencapai status ‘khairu ummah’ iaitu matlamat ditekankan dalam usaha dakwah Islamiah. 

Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka, orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110) 


Belum boleh dibanggakan 

Mencapai ‘khairu ummah’ dalam erti kata yang sebenar dalam kalangan umat Islam pada umumnya masih belum tercapai. Secara umum, keadaan umat Islam di merata dunia masih belum boleh dibanggakan. 
Perlu diakui, dalam setiap aspek kehidupan, umat Islam di mana saja seolah-olah berada di tebing yang curam dan dalam keadaan bahaya. Paras kemiskinan masih lagi tinggi, dalam bidang politik pula, umat Islam masih tertekan dan belum mampu menguasai dunia. Malah, umat Islam sering digelar sebagai pengganas. 

Menyedari keadaan itu, usaha menyatukan umat Islam secara bersepadu termasuk kesepaduan dari segi mental, spiritual, idea, gagasan serta kesepaduan gerakan. Agenda menyatukan umat ini bukanlah satu perkara mudah. 


Perkara cabang punca telagah 

Jika dilihat secara halus dan teliti, perkara yang menjadi faktor atau penghalang kepada kesatuan dalam kalangan umat Islam umumnya bukanlah berpunca daripada perkara asas tetapi perkara cabang yang sering diperdebat hingga menyebabkan pertelagahan. 

Perkara ini perlu dibanteras segera dan usaha untuk memanjangkan kefahaman perlu dilakukan oleh umat Islam khususnya bagi mengelak daripada perbalahan disebabkan perselisihan dalam perkara remeh temeh. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125) 

Sebaliknya, umat Islam perlu menyelesaikan masalah lebih besar yang masih membelenggu seperti kemiskinan, pengangguran dan perpecahan. Umat Islam perlu tahu perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan mereka. 

Pada masa sama, usaha dakwah perlu diteruskan dalam kalangan umat Islam bagi meninggikan taraf ekonomi, kekuatan politik serta kesatuan ummah, sekali gus dapat membentuk ‘khairu ummah’ seperti yang menjadi matlamat utama dakwah Islamiah.



Credit: Burhanuddin Jalal

No comments:

Post a Comment