Sunday, 29 September 2013

Dakwah di kelab dangdut

Dakwah di kelab dangdut
Pegawai Jaipk memberi nasihat dan peringatan berkaitan Islam kepada pengunjung premis 
hiburan berkenaan, semalam.

IPOH - Pengunjung sebuah kelab dangdut di sini, dikejutkan dengan kehadiran pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di premis tersebut kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

Kehadiran mereka adalah sempena Program Dakwah Bersama IPT Perak anjuran Jaipk yang diadakan selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, seramai 70 penuntut dari beberapa IPT di negeri ini termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 30 pegawai penguat kuasa Jaipk terlibat dalam program tersebut.

Menurutnya, pendekatan itu adalah untuk menyampaikan dakwah, nasihat dan memberi risalah berkaitan Islam kepada pengunjung beragama Islam yang mengunjungi pusat hiburan seperti pub, kelab malam serta kelab dangdut.

“Program ini pertama kali diadakan secara rasmi di negeri ini terutamanya dalam konteks berdakwah ke lapangan.

“Melalui pendekatan dilakukan, kita secara tidak langsung dapat memberi peringatan dan pendidikan mengenai Islam kepada mereka yang mengunjungi tempat sedemikian,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, mereka singgah ke beberapa tempat untuk menyampaikan dakwah antaranya ke kelab malam, taman rekreasi dan pusat beli-belah.

Sementara itu pengunjung, Ayu Salleh, 21, berkata, pada mulanya dia kurang selesa dengan kehadiran individu bertudung labuh di situ.

“Namun, selepas dimaklumkan mereka hadir untuk program dakwah, saya dapat menerimanya dengan hati terbuka,” katanya yang hadir ke premis tersebut untuk melihat suaminya yang bekerja sebagai pemain keyboard.

Menurutnya, kebiasaannya premis hiburan sering dipenuhi golongan yang cetek agama, namun tidak semuanya naif dalam hal berkenaan.

“Saya lihat pendekatan dilakukan Jaipk bersama penuntut IPT ini bagus kerana dapat mengingatkan orang ramai,” katanya.

Peserta program, Fatin Nadiah Rosli, 21, yang merupakan penuntut tahun kedua Sarjana Muda Ukur Bahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar pula berkata, dia menyertai program itu kerana ingin menyampaikan dakwah.




Credit: rOSDALILAH ZAHARI



No comments:

Post a Comment