Saturday, 28 September 2013

Budak terpaksa dikhatan lepas kemaluan diikat getah


DIBULI MURID LAIN: Aqil Danish terpaksa dibedah bagi menyelamatkan 
kemaluannya yang membengkak. - Foto HARIAN METRO


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan selepas kemaluannya membengkak dan sel kulit rosak akibat diikat dengan getah pengikat rambut oleh rakan sekolahnya selama lebih empat jam.
Akibat kejadian pada Isnin lalu itu, Aqil Danish Yusri, juga dikhatankan doktor bagi menyelamatkan anggota sulitnya itu.
Ibu kanak-kanak berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Salina, 35 tahun, berkata pembedahan dilakukan selama lebih dua jam di Hospital Ampang Putri, pagi kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, beliau berkata apabila Aqil pulang dari sekolah pada 5 petang Isnin lalu, murid darjah satu itu kelihatan tidak bermaya dan kerap ke tandas.
"Pelik dengan sikapnya, saya bertanya sama ada dia sakit atau demam. Namun, Aqil hanya memberitahu dia berasa seperti hendak demam," kata beliau yang ditukil Harian Metro.
Bagaimanapun, pada 8 malam, beliau membuat keputusan membuat pemeriksaan pada tubuh anaknya itu dan terkejut melihat kemaluan anaknya membengkak.
"Saya dan suami kemudian terus membawanya ke Hospital Ampang Putri. Ketika itu saya masih tidak tahu apa yang berlaku. Selepas itu, barulah doktor memberitahu kemaluan Aqil diikat dengan getah rambut.
"Kata doktor, akibat diikat untuk tempoh beberapa jam, saluran darah pada kemaluan anak saya tersumbat lalu membengkak dan ada sel kulit yang rosak, menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan," kata Cik Salina.
Menyusuli pemberitahuan doktor itu, beliau meminta anaknya menceritakan apa yang berlaku.
Menurut Aqil, dia didatangi dua murid lelaki darjah empat yang telah menariknya masuk ke tandas, sebelum mengikat kemaluannya dengan getah pengikat rambut.
"Saya tidak pasti mengapa mereka memperlakukan anak saya seperti itu. Berikutan itu, saya membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan dan bagi mengelak kejadian sama berlaku ke atas orang lain," kata Cik Salina, yang menambah anaknya kini trauma untuk ke sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rahim Abdullah, mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment