Monday 2 September 2013

Wali yang karamah

Tok Kenali ialah seorang pejuang, pengasuh dan pendidik sehingga melahirkan ramai agamawan negara.

Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya, dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang 'mengaji' dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: "Belajar rajin-rajin" dan "Balik buka pondok!"

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah termasuk dakwaan yang cukup popular iaitu beliau boleh berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang 'masin' (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau) dan juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.

Tok Kenali meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada 19 November, 1933.


Tenaga penting majalah Pengasuh

Beliau merupakan tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.

Tok Kenali juga telah membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu.

Di situlah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing.

Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.


Ulama dan umara

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.

Menteri Besar Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Haji Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara berkaitan pentadbiran.

Beliau pernah bertanyakan kepada Tok Kenali berhubung cara memajukan bandar Kota Bharu.

Tok Kenali mencadangkan agar dibinakan banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.

Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan.

Sultan Kelantan, Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali. Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.

Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi. Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Menteri Besar.

Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang dari serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia).

Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.

No comments:

Post a Comment