Monday 30 September 2013

Mahasiswa universiti di Mesir bertempur

Tahrir Square

KAHERAH 30 Sept. - Dua kumpulan pelajar universiti dilengkapi senjata api dan bom petrol, semalam bertempur di beberapa buah universiti di negara ini, keganasan yang dicetuskan akibat penggulingan Presiden Mesir, Mohammad Mursi.

Media rasmi melaporkan, sebanyak 29 orang cedera ekoran pertempuran penyokong dan penentang bekas pemimpin negara Mesir itu di sekurang-kurangnya tiga universiti.

Tindakan tegas ke atas pergerakan Ikhwanul Muslimin mengehadkan aktiviti mereka dan pelajar pro-Mursi mula mengadakan demonstrasi di kawasan universiti.

Sumber keselamatan berkata, kumpulan pelajar yang menentang dan menyokong Mursi bergaduh di Universiti Ain-Shams di sini semalam, menyebabkan 12 orang cedera.

Agensi berita rasmi melaporkan, sebanyak 15 orang cedera apabila dua kumpulan pelajar bersenjatakan senjata api dan bom petrol di Universiti Zagazig bertempur.

Akhbar rasmi, al-Ahram melaporkan, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelajar yang berarak dan melaungkan slogan anti-tentera di timur laut Kaherah.

"Sebanyak dua orang cedera dalam pergaduhan di sebuah universiti di bandar Tanta, Delta Nil,'' kata sumber.
Mesir bergolak sejak tentera merampas kuasa dan membubarkan kerajaan pada 3 Julai lalu selepas demonstrasi besar-besaran terhadap pentadbiran Mursi. - REUTERS

No comments:

Post a Comment