Wednesday, 4 September 2013

Pergaduhan alam siber gadai silaturahim

Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya iaitu orang yang suka mengecam, suka melaknat, suka bercakap kufur dan suka mencarut.” (Riwayat at-Tirmizi) 

Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terbabit dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran rasional kerana hal ini adalah satu tindakan tidak produktif dan tidak berfaedah.


Malah, ia hanya akan berakhir dengan perpecahan kerana hidup saling bermasam muka antara satu sama lain. Islam menyuruh kita supaya hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. 

Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi pengikut serta kakitangannya, malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka. 

Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan selain hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka, berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri. 

Hari ini kecanggihan teknologi komunikasi yang tiada sempadannya membolehkan sesiapa saja membuat kenyataan yang boleh dibaca semua. Malangnya, kenyataan yang dibuat tidak mencerminkan akhlak serta nilai mulia perlu ada dalam diri manusia. 

Kata-kata kesat dilemparkan sesuka hati hingga berlaku pergaduhan di alam maya, saling berbalas kenyataan yang akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati sesama sendiri. Maka berlaku permusuhan yang tiada berkesudahan. 


Gambaran ini begitu mengecewakan kerana tiada lagi kasih sayang serta hormat menghormati antara ahli masyarakat. Masing-masing cuba menegakkan keegoan dengan mengecam pihak satu lagi hingga menggadaikan silaturahim yang sepatutnya dipelihara sebaik-baiknya. 

Sudah tiba masanya perbezaan pandangan dihujahkan menggunakan bahasa sedap didengar kerana kita tidak boleh memaksa orang lain bersetuju dengan pendapat serta pandangan kita. 

Kebebasan bersuara datang dengan tanggungjawab dan sebagai umat Islam khususnya kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal perbuatan. Menghina orang memang sedap, tetapi apakah kita bersedia untuk meminta maaf kepada orang yang dihina. Dosa sesama manusia hanya boleh diampunkan oleh orang itu.

No comments:

Post a Comment