Sunday, 15 September 2013

Rangka suami ditemui dalam semak

KUCHING 15 Sept. - Misteri kehilangan seorang lelaki yang keluar dari rumah selepas berselisih faham dengan isteri sejak hari raya kedua lalu terjawab dengan penemuan rangka manusia dalam semak di Lorong 2, Jalan Cenderawasih di sini pagi ini.

Rangka dipercayai milik Mohamad Irwan Syah Abdul Bahar, 27, ditemui lengkap berbaju T hijau dan berseluar pendek oleh seorang penduduk, Norudin Abdullah, 36, kira-kira pukul 9 pagi ini.

Ketika dijumpai, rangka tersebut dalam keadaan terlentang dengan kepalanya sudah hampir terbenam dalam tanah.

Sementara itu, identitinya dikenal pasti menerusi kad pengenalan yang ditemui di dalam dompet selain pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.

Isteri mangsa, Sulisdiyanti turut ke lokasi kejadian sebelum gagal mengawal emosi dan pitam selepas polis memberitahu mengenai penemuan kad pengenalan di dalam dompet milik mangsa.

Dia juga meluahkan kekesalan kerana sebelum Irwan keluar dari rumah pada petang 9 Ogos lalu, berlaku pertengkaran antara mereka.

Sementara itu, nenek mangsa, Serini Abang Sanusi, 64, pula memberitahu, selepas bertengkar dengan isteri, Irwan keluar dari bilik sambil menangis.

"Dia bersalam dan mencium pipi saya sambil meminta maaf. Dia minta saya halalkan segala makan dan minum dan terus meninggalkan rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Irwan yang tidak memiliki pekerjaan tetap meninggalkan seorang isteri serta tiga orang anak berusia empat bulan, setahun dan dua tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu rangka berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment