Saturday, 14 September 2013

Jauhi azab muflis di akhirat

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bertanya: “Tahukah kamu siapakah sebenarnya orang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki wang dan harta.” 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang nanti pada hari kiamat datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu, dia juga pernah mencaci maki si polan ini, menuduh si polan,  memakan harta si polan ini, menumpahkan darah si polan ini dan memukul si polan ini. Maka si polan ini akan diberinya pahala kebaikan orang itu. Kemudian jika pahala kebaikannya itu habis sebelum mencukupi apa yang menjadi tanggungannya, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diambilnya untuk dipikul kepada orang yang menzaliminya, kemudian sesudah itu barulah dia dilemparkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim).


Demikianlah dialog menarik antara Rasulullah SAW dengan sahabat yang diriwayatkan Imam Muslim mengenai orang yang muflis. Sahabat menjawab pertanyaan Rasulullah SAW mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan orang muflis itu. Mereka berkata, “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta.” 


Orang yang rugi
Itu adalah persepsi umum, iaitu orang muflis itu, orang yang kerugian sehingga kehabisan wang dan hartanya. Namun ia berbeza dengan sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas. Dosa orang muflis itu dianggap perbuatan mazmumah dan Rasulullah SAW menjelaskan seperti berikut: 

Pertama, mencaci maki orang lain. Bila seseorang mencaci-maki orang lain, biasanya akan keluarlah kata-kata yang tidak senonoh dari mulutnya sehingga mengakibatkan hilangnya harga diri orang itu.

Padahal, harga diri seseorang manusia dalam Islam sangat dimuliakan. Apabila seseorang manusia merendahkan dan melecehkan harga diri seseorang yang lain, dia pada hakikatnya melampaui kekuasaan Allah SWT. 


Hal ini kerana Allahlah saja yang paling berhak merendahkan manusia yang menyekutukan-Nya. 

Allah berfirman bermaksud: “Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan ketika hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 19)

Kedua, menuduh orang lain. Fitnah adalah amalan paling keji kerana fitnah lebih kejam daripada membunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana saja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang yang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Memakan harta orang lain
Ketiga, memakan harta orang lain. Perbuatan ini menimbulkan banyak mudarat kepada pihak lain, apatah lagi harta itu diambil dengan cara kasar, tidak benar dan tanpa berperasaan, termasuk amalan rasuah, lebih-lebih lagi merampas harta anak yatim adalah perbuatan yang amat dimurkai Allah SWT. 

Ini adalah satu peringatan kepada pemegang amanah dana atau harta umat Islam terutama harta anak yatim, seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala”. (Surah al-Nisa’, ayat 10)

Keempat, membunuh orang lain. Islam sangat memuliakan manusia sehingga nilai nyawa seseorang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Membunuh seorang manusia adalah sama dengan membunuh semua manusia di seluruh alam semesta ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Kelima, memukul atau menganiayai orang lain. Islam sangat menjunjung tinggi jalinan persahabatan dan ikatan persaudaraan antara sesama manusia. Islam menolak permusuhan dan perbalahan sehingga terjadinya penganiayaan baik menghina mahupun memukul seseorang. 



Credit: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (UniSZA)


No comments:

Post a Comment