Saturday, 7 September 2013

Dua pesanan Rasulullah untuk pedoman Muslim

Kita digalakkan mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga dan sahabat apabila hendak meninggalkan mereka seperti hendak bermusafir. Kita juga digalakkan memberi nasihat yang baik, mendoakan mereka dan meminta mereka mendoakan kita. 

Allah SWT menjelaskan dalam firman yang bermaksud: “Nabi Ibrahim mewasiatkan agama itu kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub berkata: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, oleh itu janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam. Adakah kamu hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika baginda berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu sembah selepas aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepada Dia-lah saja kami berserah diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 132-133).
Yazid bin Hayyan berkata, “Pada suatu hari, saya, Husain bin Sabrah dan Amru bin Muslim menziarahi Zaid bin Arqam. Ketika kami sedang duduk bersama-sama, Husain berkata kepada Zaid: “Zaid, saudara mendapat kebaikan yang banyak. Saudara dapat melihat Rasulullah, mendengar hadisnya, berperang bersamanya dan bersembahyang di belakangnya. Bertuah sungguh saudara. Cubalah saudara ceritakan kepada kami, apa yang saudara dengar daripada Rasulullah. 


Berpegang pada kitab 

Zaid berkata: Wahai anak saudaraku, demi Allah, sesungguhnya usia saya ini sudah tua dan kematian hampir tiba. Saya sudah lupa sebahagian daripada apa yang saya ceritakan saja. Sebahagian yang tidak saya ingati itu jangan saudara paksa-paksa saya menceritakannya. 

Kemudian Zaid berkata: Rasulullah berdiri membaca khutbah di suatu tempat berair yang dinamakan Khum. Ia terletak di antara Makkah dan Madinah. Baginda membaca ‘Alhamdulillah’, kemudian memuji Allah. Baginda memberi nasihat dan peringatan dengan berkata: Ingatlah wahai sekalian manusia. Saya ini adalah manusia biasa yang hampir didatangi oleh utusan Tuhanku (malaikat maut). Saya harus mengikut kehendakNya (diwafatkan). Saya tinggalkan kepada saudara semua dua perkara yang penting. Iaitu kitab Allah yang mengandungi petunjuk dan cahaya. Dengan itu, ambillah ia dan amalkan isi kandungannya. Berpegang teguhlah padanya.” 

Pesanan itu menunjukkan Rasulullah SAW memerintahkan supaya kita berpegang teguh dan mencintai kitab Allah SWT. 
Kemudian baginda berkata lagi: Kedua, saya tinggalkan kepada saudara sekalian ahli keluarga saya. Saya ingatkan saudara semua supaya bertakwa kepada Allah dengan memuliakan ahli keluarga saya. Sekali lagi saya berpesan kepada saudara supaya bertakwa kepada Allah dengan memuliakan ahli keluarga saya. 

Husai berkata kepada Zaid: Siapakah ahli keluarga yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu wahai Zaid. Adakah isteri-isterinya termasuk dalam golongan ahli keluarga? Zaid menjawab: Ya, isteri-isteri baginda juga dianggap ahli keluarganya. Tetapi ahli keluarga yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah golongan yang diharamkan menerima harta zakat selepas kematian baginda. 

Husain bertanya lagi: Siapakah mereka itu. Zaid menjawab: Mereka adalah keturunan Ali, Aqil, Jaafar dan Abbas. Husain bertanya lagi: Mereka semua diharamkan daripada menerima harta zakat? Zaid berkata: Ya, benar.” (Riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment