Tuesday 10 September 2013

Maut dibelasah hanya kerana menjeling

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki 20an maut akibat dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran sebuah gerai di kawasan Medan Selera Flat Sri Stulang, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian  kira-kira pukul 4.10 pagi itu, mangsa, Mohammad Hafiz Nizamuddin bersama tiga rakannya berusia antara 22 hingga 24 tahun dikatakan baru pulang dari tempat kerja di kawasan berhampiran dan singgah di medan selera itu untuk minum.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Asisten Komisioner Azizan Anan, berkata mangsa diserang selang beberapa minit berada di medan selera itu.

Polis difahamkan kejadian bermula apabila mangsa didakwa menjeling kumpulan terbabit sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kesemua suspek.

“Dalam pertengkaran itu, keadaan menjadi tegang apabila kumpulan terbabit menggunakan kerusi dan meja untuk menyerang mangsa dan rakannya.

“Selepas penyerang terbabit beredar, rakan-rakan mangsa mendapati keadaan mangsa agak teruk sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Azizan, ketika dirawat di HSA, di sini, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Susulan daripada maklumat yang diterima berkaitan kejadian terbabit, Azizan berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai salah seorang penyerang terbabit di sekitar bandar raya ini.

“Identiti tiga lagi penyerang juga telah dikenalpasti dan kita percaya mereka akan dapat ditahan dalam masa terdekat.

“Namun, kami tetap memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit agar tampil membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment