Monday, 30 September 2013

3 mati, 2 kritikal keracunan makanan kenduri kahwin



Foto
Yan: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak dan warga emas meninggal dunia, manakala dua lagi kritikal dipercayai akibat keracunan makanan selepas menikmati jamuan di majlis kenduri kahwin di sebuah rumah di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani pada Sabtu lalu.

Sehingga petang semalam, pihak hospital menerima 70 kes, iaitu 35 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, 30 di Hospital Yan (HY) serta lima di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan dijangka meningkat.



Meninggal selepas pengsan 


Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, yang pengsan di rumahnya di Kampung Singkir Laut, Sungai Petani meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HY pada jam 1 tengah hari semalam.


Foto

Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurshazana Mohd Rashid, 24, pula meninggal dunia selepas pengsan di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong, pada jam 12.45 tengah hari dan dihantar ke HSB, manakala Ibrahim Muhamad, 62, dari Alor Jejawi, Kuala Besut Terengganu, meninggal dunia jam 6.30 petang di HSAH. 


Foto
Sebahagian pesakit yang mengalami keracunan makanan 
menerima rawatan di Hospital Yan, semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, berkata dua yang kritikal, iaitu lelaki termasuk seorang kanak-kanak sedang dirawat di HASH.

Beliau berkata, tiga mangsa disahkan mati akibat keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makanan pada majlis kenduri kahwin itu. 
Katanya, semua mangsa mendapat rawatan mengalami muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi serius. 



Foto

Sehingga petang semalam, pihaknya masih mengesan punca dan jenis virus yang menyerang pesakit bagi tindakan lanjut. 

“Kita minta orang ramai yang mengalami demam, cirit-birit dan muntah selepas menghadiri majlis berkenaan segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan bagi mengelak kejadian lebih buruk,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata setakat ini polis menyerahkan kes kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan lanjut.





Satu pokok hasil 250 jenis epal


BARNETT menggunakan tangga untuk melabel 250 jenis epal di setiap ranting pada 
induk pokok epal di belakang rumahnya di Chidham, Amerika Syarikat.


CHIDHAM, West Sussex - Seorang lelaki di sini mengambil tempoh masa selama 20 tahun untuk menanam sebatang pokok buah epal yang menghasilkan 250 jenis epal dibelakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bagi melakukannya, Paul Barnett telah mencantumkan 250 jenis tunas pokok epal berlainan jenis pada ranting sebatang pokok epal yang bertindak sebagai induk.
Melalui teknik itu, dia kini memiliki banyak pilihan buah epal dari pelbagai jenis untuk dimakan, dimasak dan dijadikan cuka.
Person holding an apple (© Food and Drink/Rex Features)
Barnett turut melabelkan setiap dahan epal untuk memudahkan dirinya mengingati dahan bagi jenis epal yang dicantumkan pada pokok berkenaan.
"Saya mula bekerja di sebuah tapak semaian yang mengandungi 90 jenis pokok epal pada setiap batas," kata lelaki berusia 40 tahun itu.
"Saya mahu menanam pokok-pokok saya sendiri, namun saya tidak memiliki kawasan untuk melakukannya. Oleh itu saya menggunakan kaedah pencantuman tunas untuk tujuan tersebut," tambahnya. - Agensi
A-keen-gardener-has-created-the-family-tree-over-25-years-GETTY-

Turki tarik balik larangan pakai tudung

Recep Tayyip Erdogan

ANKARA 30 Sept. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengumumkan akan menghentikan pengharaman pemakaian tudung dalam kalangan wanita di institusi kerajaan.

Pengumuman itu adalah sebahagian daripada usul pakej pembaharuan hak asasi manusia oleh kerajaan yang telah lama ditunggu-tunggu.



Peraturan baharu itu bagaimanapun tidak akan digunapakai untuk institusi kehakiman dan tentera.

Erdogan dalam pada itu turut mengumumkan rancangan untuk memulangkan harta biara milik etnik Assyria Kristian yang dirampas oleh negara ini. - REUTERS

Mahasiswa universiti di Mesir bertempur

Tahrir Square

KAHERAH 30 Sept. - Dua kumpulan pelajar universiti dilengkapi senjata api dan bom petrol, semalam bertempur di beberapa buah universiti di negara ini, keganasan yang dicetuskan akibat penggulingan Presiden Mesir, Mohammad Mursi.

Media rasmi melaporkan, sebanyak 29 orang cedera ekoran pertempuran penyokong dan penentang bekas pemimpin negara Mesir itu di sekurang-kurangnya tiga universiti.

Tindakan tegas ke atas pergerakan Ikhwanul Muslimin mengehadkan aktiviti mereka dan pelajar pro-Mursi mula mengadakan demonstrasi di kawasan universiti.

Sumber keselamatan berkata, kumpulan pelajar yang menentang dan menyokong Mursi bergaduh di Universiti Ain-Shams di sini semalam, menyebabkan 12 orang cedera.

Agensi berita rasmi melaporkan, sebanyak 15 orang cedera apabila dua kumpulan pelajar bersenjatakan senjata api dan bom petrol di Universiti Zagazig bertempur.

Akhbar rasmi, al-Ahram melaporkan, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelajar yang berarak dan melaungkan slogan anti-tentera di timur laut Kaherah.

"Sebanyak dua orang cedera dalam pergaduhan di sebuah universiti di bandar Tanta, Delta Nil,'' kata sumber.
Mesir bergolak sejak tentera merampas kuasa dan membubarkan kerajaan pada 3 Julai lalu selepas demonstrasi besar-besaran terhadap pentadbiran Mursi. - REUTERS

Penumpang buka pintu kecemasan pesawat kerana kepanasan



JAKARTA 30 Sept. - Seorang penumpang pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air bertindak membuka pintu kecemasan pesawat itu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Manado, Sulawesi Utara pada Isnin, dengan alasan penyaman udara tidak dingin.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi ketika pesawat berkenaan sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi perjalanan Manado-Jakarta pagi ini.

Perbuatan penumpang itu menyebabkan juruterbang mengembalikan pesawat ke tempat letaknya, serta menurunkan semua penumpang, lapor portal berita kompas.com pada Isnin.

Penumpang berkenaan dilapor bertindak membuka pintu kecemasan kerana bantahan para penumpang mengenai keadaan panas dalam kabin pesawat yang telah mereka dilaporkan kepada pramugari dan juruterbang, tidak ditangani.

Waktu berlepas penerbangan itu yang tertunda selama hampir sejam menyebabkan para penumpang tidak tahan berada dalam kabin pesawat itu, dan mereka memohon supaya diturunkan daripada pesawat itu.
"Kira-kira 30 minit kami histeria dengan suasana itu. Bukannya melayani bantahan kami, juruterbang malah menggerakkan pesawat ke kedudukan take-off (kedudukan bersedia untuk berlepas)," seorang penumpang dilaporkan berkata.

Ketika itulah seorang daripada penumpang bertindak membuka pintu kecemasan pesawat.

Sehingga pukul 1 petang ini, semua penumpang masih berada di lapangan terbang itu dan mereka tidak dimaklumkan sama ada akan mendapat pesawat ganti atau tidak, lapor portal berita itu. - BERNAMA

Sunday, 29 September 2013

Jangan timbulkan masalah kepada orang lain

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42) 

Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim).


Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati. 

Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32) 

Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan. 

Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa. 
Namun, ada berdepan kesukaran. Walaupun berusaha mengikut daya kemampuan diri, nasib masih tidak menyebelahi. Ibarat kain pagi makan pagi, kais petang makan petang. Justeru, hikmah hidup bersaudara supaya ada rasa saling bantu membantu dan prihatin. 

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa tidak beriman mereka jika tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jiran mereka kelaparan. Alangkah benarnya Islam hingga perkara membabitkan perut diberi perhatian khusus.

Realiti yang berlaku, jiran bukan saja tidak sedar kelaparan dirasakan jiran mereka, malah jika tahu pun, tiada usaha dilakukan. Alasannya, tidak mahu masuk campur urusan orang lain atau takut dikatakan sebagai penyibuk. 

Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan. 

Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.

Dakwah di kelab dangdut

Dakwah di kelab dangdut
Pegawai Jaipk memberi nasihat dan peringatan berkaitan Islam kepada pengunjung premis 
hiburan berkenaan, semalam.

IPOH - Pengunjung sebuah kelab dangdut di sini, dikejutkan dengan kehadiran pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di premis tersebut kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

Kehadiran mereka adalah sempena Program Dakwah Bersama IPT Perak anjuran Jaipk yang diadakan selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, seramai 70 penuntut dari beberapa IPT di negeri ini termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 30 pegawai penguat kuasa Jaipk terlibat dalam program tersebut.

Menurutnya, pendekatan itu adalah untuk menyampaikan dakwah, nasihat dan memberi risalah berkaitan Islam kepada pengunjung beragama Islam yang mengunjungi pusat hiburan seperti pub, kelab malam serta kelab dangdut.

“Program ini pertama kali diadakan secara rasmi di negeri ini terutamanya dalam konteks berdakwah ke lapangan.

“Melalui pendekatan dilakukan, kita secara tidak langsung dapat memberi peringatan dan pendidikan mengenai Islam kepada mereka yang mengunjungi tempat sedemikian,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, mereka singgah ke beberapa tempat untuk menyampaikan dakwah antaranya ke kelab malam, taman rekreasi dan pusat beli-belah.

Sementara itu pengunjung, Ayu Salleh, 21, berkata, pada mulanya dia kurang selesa dengan kehadiran individu bertudung labuh di situ.

“Namun, selepas dimaklumkan mereka hadir untuk program dakwah, saya dapat menerimanya dengan hati terbuka,” katanya yang hadir ke premis tersebut untuk melihat suaminya yang bekerja sebagai pemain keyboard.

Menurutnya, kebiasaannya premis hiburan sering dipenuhi golongan yang cetek agama, namun tidak semuanya naif dalam hal berkenaan.

“Saya lihat pendekatan dilakukan Jaipk bersama penuntut IPT ini bagus kerana dapat mengingatkan orang ramai,” katanya.

Peserta program, Fatin Nadiah Rosli, 21, yang merupakan penuntut tahun kedua Sarjana Muda Ukur Bahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar pula berkata, dia menyertai program itu kerana ingin menyampaikan dakwah.




Credit: rOSDALILAH ZAHARI



Keunikan Kompleks As-Saadah

Kompleks As-Saadah diharap menjadi salah satu simbol dan mercu tanda di Negeri Sembilan.

MELANGKAH masuk ke dalam pintu utama Kompleks As-Saadah bagaikan memasuki pintu dua dimensi yang membawa pengunjung terus ke Tanah Besar China.

Mungkin bagi mereka yang tidak tahu, pastinya akan menganggap kompleks yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan dengan keluasan 1.78 ekar itu dibina bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan bagi kaum Cina.




Namun, siapa sangka kompleks yang dibangunkan dengan berpaksikan konsep seni bina tradisional masyarakat Cina itu merupakan pusat kegiatan mualaf untuk menimba ilmu dan memahami serta mendalami ajaran Islam sebenar.

Yang Dipertua Kompleks As-Saadah, Abdul Halim Lin Abdullah berkata, menggabungkan seni bina masyarakat di negara China dan Masjid Xian, yang terletak di wilayah Selatan negara itu, Kompleks As-Saadah diyakini menarik lebih ramai saudara baru terutamanya bangsa Cina untuk mendekati Islam.



Beliau berkata, ini kerana seni bina merupakan salah satu faktor yang dapat mempengaruhi fikiran manusia untuk memahami dasar keterbukaan Islam yang tidak tertumpu kepada sesuatu kaum atau bangsa sahaja.

"Reka bentuk Kompleks As-Saadah yang diambil berpandukan seni bina budaya negara China ini bukanlah untuk menjadi kebanggaan semata-mata, tetapi ia merupakan strategi dalam berdakwah kepada bukan Islam terutamanya golongan Cina.

 

"Dengan terbinanya kompleks ini, ia secara tidak langsung membuktikan kesempurnaan dan keterbukaan agama Islam yang tidak menghalang umatnya untuk mengamalkan konsep kebudayaan masing-masing mencakupi masyarakat seluruh dunia," katanya.



Mula beroperasi sejak Mac 2011, Kompleks As-Saadah yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Kegiatan Saudara Baru, Negeri Sembilan telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 Januari tahun lalu.

  

Lengkap dengan laman tradisi seni bina China dan menara pagoda, konsep reka bentuk Kompleks As-Saadah yang merupakan cetusan idea Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan itu menelan belanja RM7.76 juta dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

 

Antara kemudahan yang disediakan termasuk dewan solat yang memuatkan 300 orang, pejabat Muslim Reverts' Association (MRA) dan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), dewan serbaguna, dewan makan, bilik mesyuarat, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, asrama dan juga kuarters mubaligh.

 

Abdul Halim berkata, penubuhan Kompleks As-Saadah juga secara tidak langsung mengubah persepsi bukan Islam di negara ini yang dilihat 'takut' untuk mendekati rumah ibadah umat Islam.



"Bagaimana ingin memeluk Islam, sedangkan kita takut untuk mendekati rumah ibadat agama Islam? Ini merupakan permasalahan yang dihadapi oleh kelompok bukan Islam untuk mendapatkan maklumat dan mengenal agama Islam dengan lebih terperinci.

"Kebanyakan daripada mereka menganggap masjid atau surau adalah hanya untuk orang Melayu dan pengikut beragama Islam sahaja. Ini boleh membantutkan keinginan mereka untuk mengetahui mengenai agama Islam.



"Tetapi dengan terbinanya kompleks ini, kita mengalu-alukan dan menggalakkan kepada semua masyarakat sama ada beragama Islam atau bukan Islam untuk datang mendapatkan maklumat mengenai Islam di sini," ujar beliau.

Tambahnya, Kompleks As-Saadah diharap menjadi simbol dan mercu tanda di Negeri Sembilan sebagai lokasi bagi saudara baru mempelajari dan mendalami ajaran Islam dengan mengikuti perkhidmatan yang ditawarkan di kompleks ini.

"Penubuhan kompleks ini memberi gambaran bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan penyediaan kemudahan dan prasarana yang sempurna bagi kegunaan saudara baru di negara ini khususnya di Negeri Sembilan.

"Ia juga boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang berminat untuk mendekati atau mendalami agama Islam dan terbuka kepada bukan Islam, saudara baru dan juga sudah memeluk Islam," jelasnya.


Urus perkahwinan

Bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kelas pengajian agama, Kompleks As-Saadah turut menganjurkan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bersama saudara baru.

Abdul Halim berkata, antara aktiviti yang diadakan termasuklah membantu dan menguruskan perkahwinan bagi golongan mualaf sehingga sempurna.



"Kompleks As-Saadah menawarkan kelas pengajian agama seperti kelas fardu ain, panduan solat berjemaah, pengajian akidah dan pengajian al-Quran secara percuma pada setiap hari. Bukan sahaja kepada saudara baru, malah kelas bagi mereka yang telah lama memeluk Islam turut disediakan.



"Di samping itu, kita turut menyediakan perkhidmatan membantu menguruskan majlis perkahwinan bagi saudara baru sehingga selesai dengan khidmat juru nikah, lokasi dan pengurusan majlis.



"Ini kerana, kebanyakan saudara baru yang memeluk Islam belum mengetahui kaedah melangsungkan perkahwinan mengikut cara Islam, begitu juga terdapat segelintir mereka yang disisih oleh keluarga sendiri," katanya.



Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak amalan budaya masing- masing jika ingin dilakukan selagi tidak bertentangan dengan syariat ajaran Islam.



"Mengikut budaya kaum Cina, kita tidak menolak sebarang amalan turun temurun jika ingin diamalkan, sebagai contoh majlis minum teh bersama ketika atau selepas perkahwinan.



"Ia tidak menyalahi ajaran agama Islam, malah bertujuan untuk menunjukkan penghormatan di samping mengeratkan hubungan antara keluarga kepada saudara baru," ujarnya.