Friday 8 March 2013

MARI BACA DAN HAFAZ AL QURAN


PADA awal Mac ini program musabaqah menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan diadakan di Pulau Pinang. Bagi penghafaz al-Quran program itu amat besar ertinya di mana hafazan mereka diuji. Peserta yang menjaga hafazan dengan selalu membacanya akan menjawab semua soalan dengan fasih dan lancar.

Program hafazan ini sebenarnya berlaku di seluruh dunia Islam. Pada masa kini Arab Saudi, Mesir, Qatar, Indonesia dan negara-negara Islam lain menjadikan musabaqah hafazan al-Quran sebagai acara tahunan.
Peserta yang terlibat adalah mereka yang telah berjaya di peringkat saringan.

Peserta yang mempersembah hafazan pula mempunyai pakej lengkap daripada sudut suara, ingatan dan gaya persembahan.

Lebih daripada itu, ia juga menggambarkan keagungan yang terletak pada kalam Allah iaitu al-Quran.

Rasulullah SAW telah bersabda keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. "Bacalah kerana Allah SWT, kerana Dia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran." (riwayat al-Hakim)


Oleh itu, umat Islam perlu menyayangi al-Quran kerana kitab ini adalah panduan hidup kita.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menggesa umatnya membaca al-Quran.

Untuk memudahkan kita memahami fadilat serta kelebihan membaca al-Quran, dalam hadisnya, Baginda membuat perbandingan sabdanya: "Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah harum baunya dan enak rasanya dan Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar enak rasanya tetapi tiada haruman." (riwayat Bukhari dan Muslim).


Dalam kehidupan Muslim seharian menghafaz al-Quran adalah satu kemestian. Setiap kali menunaikan ibadat solat diwajibkan membaca al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun.

Di bulan Ramadan, umat Islam digalakkan membaca al-Quran bertadarus. Segala ibadat adalah bersumber dalilnya daripada al-Quran seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain.

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda: "Belajarlah al-Quran kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan. Sedangkan meninggalkanya adalah kerugian dan orang yang malas serta lemah semangat tidak mampu melaksanakannya. (riwayat Muslim)


Kehebatan al-Quran

Hebat dan agungnya al-Quran, Allah SWT menjadikanya mudah untuk dihafaz sebagaimana firman-Nya: Dan Demi sesungguhnya Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya). (al-Qamar: 17)

Sejarah Islam membuktikan di setiap zaman, tempat dan generasi terdapat ramai penghafaz al-Quran, sama ada daripada bangsa Arab atau bukan Arab.


Di India umpamanya, walaupun mereka tidak bertutur dalam bahasa Arab terdapat puluhan ribu yang menghafaz al-Quran sehingga terdapat bidalan yang menyatakan al-Quran diturunkan di Mekah, dihafaz di India dan difahami di Mesir.

Di Malaysia, pusat tahfiz al-Quran berada di merata tempat dan yang pertamanya ditubuhkan pada 1966. Perkembangan pusat tahfiz ini dan kesedaran ibu bapa menghantar anak untuk menghafaz al-Quran semakin meluas.

Faedah menghafaz al-Quran pula terlalu banyak dan antaranya ialah ibu bapa akan dipakaikan mahkota yang cahayanya lebih cantik daripada cahaya matahari di dunia.

No comments:

Post a Comment