Tuesday 15 January 2013

Mahkamah Syariah berkembang


Penambahan kepada lima mampu tangani kes tertunda, tambah peluang kerjaya

Usaha kerajaan untuk menaik taraf sistem perundangan syariah dengan menambah peringkat mahkamah daripada tiga kepada lima harus dipuji. Usaha ini selaras dengan perkembangan Mahkamah Syariah kini yang semakin berkembang dan bertambah baik. 

Ia juga selari dengan kesedaran masyarakat yang semakin peka terhadap isu kekeluargaan dan jenayah Islam. Kepentingan Mahkamah Syariah bukan hanya membabitkan institusi keluarga, malah merangkumi aspek perundangan Islam.
Usaha ini juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap Mahkamah Syariah yang sebelum ini sering dipandang sepi dan tidak mendapat keistimewaan seperti mana Mahkamah Sivil. Ia juga akan meningkatkan tahap profesionalisme dalam pelaksanaan Mahkamah Syariah di negara ini.


Mahkamah Syariah sebelum ini hanya mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menyelesaikan banyak permasalahan berkaitan kepentingan awam.

Penambahan ini akan mewujudkan penambahan pengagihan kuasa untuk membicarakan kes-kes di Mahkamah Syariah yang sebelum ini dibahagikan kepada dua mahkamah saja iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. 


Longgokan kes di kedua-dua mahkamah ini memberi kesan kepada perjalanan kes dan akan mengambil masa lama. Dari segi bidang kuasanya, ada perbezaan berkaitan kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi. 

Mahkamah Rayuan pula hanya membicarakan kes rayuan semata-mata. Ketidakseragaman ini telah menyebabkan prosedur perjalanan kes berlarutan terutama di Mahkamah Tinggi. Keadaan sistem mahkamah yang terhad menyebabkan kes tidak dapat diselesaikan dengan cepat.

Lagipun, masyarakat kini semakin sedar mengenai undang-undang dan ini menyebabkan jumlah mereka yang menuntut hak di Mahkamah Syariah turut meningkat.

Contohnya, di Selangor terdapat kira-kira 16 hakim untuk mendengar dan membicarakan kes di Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi pula mempunyai empat hakim untuk membicarakan kes di bawah bidang kuasanya.

Keadaan ini jelas menampakkan ketidakseimbangan antara kedua-dua mahkamah itu. Hakim Mahkamah Tinggi secara asasnya perlu mendengar dan memutuskan kadar kes yang sama dengan keseluruhan Mahkamah Rendah.

Selain dari mendengar kes yang berada di bawah bidang kuasanya, Mahkamah Tinggi juga mendengar kes rayuan dari Mahkamah Rendah. Malah di sesetengah negeri lain, hanya terdapat dua hakim saja untuk mendengar kes di Mahkamah Tinggi.

Dengan adanya penambahan peringkat Mahkamah Syariah ini, sudah tentu bidang kuasa untuk membicarakan sesuatu kes dapat dilaksanakan dengan lebih teratur memandangkan akan wujud mahkamah tengah yang akan mengambil alih sebahagian perbicaraan itu. 

Secara tidak langsung ia akan dapat mempercepatkan kes di Mahkamah Syariah. Pembahagian bidang kuasa ini juga mengurangkan beban yang dipikul hakim terutama hakim Mahkamah Tinggi.

Selain dapat menyelesaikan kes syariah yang semakin banyak, ia juga secara tidak langsung akan mewujudkan perjawatan bagi mengisi kekosongan daripada penambahan peringkat mahkamah itu.

Penambahan perjawatan ini sudah pasti memberi ruang kepada pengamal syariah mahupun pelajar jurusan syariah untuk mempraktikkan dan mencorakkan sistem perundangan Mahkamah Syariah.

Perjawatan ini juga perlu diisi dengan segera tanpa membiarkan sebarang kekosongan bagi membolehkan Mahkamah Syariah berfungsi sebaiknya. Kekosongan perjawatan boleh merencatkan perjalanan sesuatu kes dan sudah pasti merencatkan sistem perundangan Islam.

Penambahan ini juga diharap dapat meningkatkan integriti Mahkamah Syariah dalam kalangan masyarakat mahupun pentadbir untuk menjalankan tugasannya. Ia perlu dilaksanakan dengan kadar segera selaras perkembangan sistem Mahkamah Syariah yang jelas menongkah laju berbanding 10 tahun lalu.

Kerjasama negeri juga diharap dapat diperoleh untuk meningkatkan taraf Mahkamah Syariah. Penambahan peringkat Mahkamah Syariah akan memberi banyak manfaat bukan saja kepada institusi Mahkamah Syariah bahkan masyarakat awam. Ia perlu disegerakan demi kemajuan sistem perundangan Islam supaya setanding perundangan sivil.

Credit: Roshdan Sujak Rafie (PGSM)

No comments:

Post a Comment