Friday 23 December 2011

Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal


KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia akibat serangan strok di pejabatnya di Maju Junction, di sini, petang semalam. Allahyarham yang juga Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd dipercayai mendapat serangan strok ketika menjalankan urusan kerja sebelum meninggal dunia jam 4.45 petang.

Pegawai Peribadinya, Nor Azhar Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, Allahyarham sihat seperti biasa, namun secara tiba-tiba kakitangan memaklumkan Allahyarham mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya dan kami cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun lima minit kemudian Tan Sri sudah tiada,” katanya.

Allahyarham mempunyai sejarah penyakit sakit jantung dan diabetes.

Beliau berkata, jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong. Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam. Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada 1990, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.

Semasa hayatnya Allahyarham adalah penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang balu, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak dan menantu serta lima orang cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Puchong selepas solat Zuhur, hari ini.




No comments:

Post a Comment