Friday 16 December 2011



Hanya agama boleh bentuk sahsiah unggul



BATU PAHAT: “Hanya didikan agama mampu membawa perubahan akhlak seseorang manusia kepada yang lebih baik,” itu nasihat Timbalan Pengarah Dua, Yayasan Al-Ijabah, Muhamad Abdullah kepada remaja wanita berusia 19 tahun yang dikenali sebagai Lisa. Lisa ialah seorang daripada sekumpulan remaja wanita yang dijadikan pemuas nafsu sekumpulan Mat Rempit sekitar bandar ini sejak berusia 15 tahun.

Dia yang keciciran sekolah mendakwa berasal daripada keluarga berada, tetapi tidak mendapat didikan agama sejak kecil menyebabkannya terjebak ke lembah noda. Abdullah atau mesra digelar Ustaz Amin berkata, pengalaman lalu membuktikan hanya agama dapat membentuk sahsiah diri unggul seseorang.

“Pada 2009, ketika bertugas sebagai pensyarah di Moscow State University, Russia, saya dipilih menjadi panel satu pembentangan bersama pelajar di negara itu. “Ditanya pandangan berkaitan akhlak remaja di sana, saya menjelaskan konsep perhubungan mereka agak keterlaluan dan terbuka lebih-lebih lagi apabila Russia sendiri satu masa dulu pernah mengharamkan agama,” katanya.


Menurutnya, sejurus mendengar penjelasan itu, secara spontan seorang lagi ahli panel bergelar profesor menjawab, Malaysia berbeza kerana mempunyai Islam dan Islam mengajar umatnya berkelakuan baik.

Katanya, ahli akademik dan bijak pandai luar yang tidak mempunyai latar belakang Islam turut bersetuju dengan kenyataan hanya agama mampu membimbing kelompok masyarakat ke arah yang lebih baik. “Justeru, yang mengajak individu menjadi baik adalah agama kerana ajaran agama merangkumi segenap aspek dunia dan akhirat.


“Sekali gus ia berbeza dengan pengajaran moral yang hanya menitikberatkan soal keduniaan semata-mata,” katanya. Justeru, beliau menasihatkan Lisa menguatkan semangat serta berusaha untuk berubah dengan mendapatkan didikan agama daripada individu berkaitan.

“Tidak perlu lagi terbabit dengan dunia penuh noda itu dan cuba untuk berubah walaupun sukar, pada masa sama ajaklah sekali anggota keluarga untuk berbuat kebaikan dan jangan jemu jika gagal kerana satu hari nanti, ia pasti berhasil,” katanya.

Credit to: HMetro





No comments:

Post a Comment