Thursday 29 December 2011

Bekas hakim Datuk Arifin Jaka meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Arifin Jaka meninggal dunia hari ini dipercayai akibat komplikasi menghidap kencing manis.

Arifin, 78, meninggal dunia kira-kira 6.05 pagi di Hospital Serdang, dekat sini, demikian menurut Bahagian Komunikasi Korporat Mahkamah Persekutuan Malaysia. Arifin meninggalkan isteri Datin Siti Maznah Ahmad, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. 

Antara kes yang didengar dan diputuskan oleh Allahyarham ketika menjawat jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ialah kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 8 Ogos 2000, Arifin menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu keluarganya, di apartmen adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Tivoli Villa, Bangsar, pada 7.45 petang antara Januari dan Mac 1993.

Bagaimanapun Anwar, pada 5 Sept 2004, dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas menang dalam rayuan terakhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu.

Jenazah Arifin dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Presint 20, Putrajaya, selepas solat Zuhur.

Arifin dilahirkan pada 30 Sept 1933 di Rembau, Negeri Sembilan dan berkelulusan Barrister-at-Law, Lincoln's Inn, London.

Beliau memulakan tugasnya dalam badan kehakiman sebagai Presiden Mahkamah Sesyen pada tahun 1970 dan jawatan tertingginya ialah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2003 sebelum bersara setahun kemudian.

Allahyarham terkenal sebagai hakim yang banyak mengendalikan kes-kes sivil, antaranya kes melibatkan pengasas bersama Kumpulan Tan Chong, Datuk Tan Kim Hor dalam prosiding penutupan Tan Chong Consolidated Sdn Bhd.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang menziarahi jenazah Allahyarham Arifin , berkata negara kehilangan seorang tokoh yang disegani dan jasa Allahyarham yang telah banyak menzahirkan nas-nas perundangan yang akan sentiasa dihargai dan diingati.

"Kita kehilangan seorang negarawan dan bekas hakim yang telah banyak berjasa dalam bidang perundangan dan hal ehwal penentuan keadilan di negara kita," katanya.
Credit to: HMetro


No comments:

Post a Comment