Tuesday 13 December 2011


Jabatan Agama Islam Johor terima 41 aduan mohon murtad

NUSAJAYA 13 Dis. - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menafikan wujudnya gerakan memurtadkan masyarakat Islam di negeri ini berdasarkan aduan yang diterima pihaknya. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, bagaimanapun gerakan tersebut sukar dikesan kerana membabitkan kumpulan kecil. "Surat layang yang diterima mengatakan gerakan berkenaan dijalankan di hotel-hotel tertentu, namun apabila disiasat hotel yang dikatakan tidak wujud sama sekali. "Justeru, sukar untuk kita mengambil tindakan kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Namun sekiranya terdapat bukti kukuh, kita akan siasat supaya memberi keadilan kepada semua," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Mohamad Taslim (Pas-Maharani) mengenai sama ada wujudnya gerakan memurtadkan umat Islam di negeri ini pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 41 aduan berkaitan permohonan murtad di seluruh negeri ini diterima hingga kini sejak 1998 dan daripada jumlah itu, 10 kes dibawa ke Mahkamah Syariah manakala 31 kes lagi diberikan bimbingan dan kaunseling.

Menurutnya, empat daripada 10 kes yang dibawa ke Mahkamah Syariah ditolak dan enam lagi masih dalam perbicaraan. "Bagi 31 aduan diterima, 21 kes adalah di Johor Bahru; empat kes masing-masing di Muar dan Batu Pahat serta dua kes di Segamat. "Antara sebab mereka membuat permohonan untuk murtad termasuk kegagalan dalam percintaan atau perkahwinan iaitu ingin kembali kepada agama asal selain alasan dipelihara keluarga bukan beragama Islam sejak kecil," katanya.

Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment