ANGGOTA polis memeriksa mayat Mohd Fazli, manakala adiknya Zulkhairi, masih hilang ketika mandi di Pantai Desaru, semalam.
BANDAR PENAWAR: Kunjungan kali pertama tujuh sekeluarga ke Pantai Desaru di sini, bertukar tragedi apabila dua beradik lemas dihanyutkan laut bergelora dengan ombak kuat ketika berenang bersama, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mayat pekerja kilang, Mohd Fazli Fauzi, 23, ditemui sejurus kejadian, manakala adiknya, Zulkhairi, 16, yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Seni Johor Bahru, masih hilang dihanyutkan arus.
Secara tiba-tiba, mereka dihanyutkan ombak dan suami cuba menyelamatkan mereka, tetapi tidak berdaya. Saya sedih kerana dua anak hilang sekali gus. - Zuraini Adnan, Ibu mangsa
Bapa mereka, Mohd Fauzi Aliuddin, 49, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, yang cuba membantu dua anaknya itu juga nyaris lemas, tetapi bernasib baik apabila sempat dibantu orang ramai.Keadaan laut bergelora dengan ombak besar, menyebabkan orang ramai yang bersimpati terhadap keluarga terbabit, tidak mampu mengambil risiko turun ke laut, bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Ibu mangsa, Zuraini Adnan, 47, berkata beliau bersama suami serta lima anak mereka dari Tiram, baru tiba di Pantai Desaru kira-kira jam 12 tengah hari untuk berkelah sempena hujung minggu.
“Ini kali pertama kami sekeluarga berpeluang berkelah di Pantai Desaru. Ketika kejadian, saya berada di tepi pantai bersama anak lain, manakala Fazli dan Zulkhairi sedang mandi.
“Secara tiba-tiba, mereka dihanyutkan ombak dan suami cuba menyelamatkan mereka, tetapi tidak berdaya. Saya sedih kerana dua anak hilang sekali gus ketika pertama kali berkelah di sini,” katanya sugul ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Saksi, Mohd Nabil Shafie, 26, berkata sebelum kejadian, beliau yang menemani adiknya bermain di gigi air pantai itu, melihat dua beradik terbabit sedang berenang kira-kira 30 meter dari pantai.
“Secara tiba-tiba, ombak besar memukul kawasan mereka mandi. Saya nampak ombak menggulung dua mangsa itu ke arah laut, menyebabkan mereka tenggelam kerana tidak mampu berenang menyelamatkan diri akibat arus deras,” katanya.
Orang ramai juga membantu memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada Mohd Fazli sejurus mangsa dibawa naik ke pantai, tetapi tidak berhasil apabila dia sudah meninggal dunia.
Ketua Operasi Balai Bomba Bandar Penawar, Abdul Rahman Mohd Salleh, berkata beliau bersama empat anggotanya bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat kejadian terbabit.
“Kami masih menunggu bantuan unit skuba yang melancarkan operasi mencari di kawasan laut, manakala saya bersama anggota menjalankan gerakan mengesan kemungkinan mangsa dihanyut ombak dan terdampar di pantai.
“Keadaan laut bergelora dengan ombak kuat ketika musim tengkujuh sekarang, tidak sesuai untuk pengunjung mandi di pantai ini, malah bendera merah sudah dipasang tanda keadaan laut bahaya untuk orang ramai mandi dan berenang,” katanya.
Sepasukan anggota polis tiba di situ menghantar mayat Mohd Fazli ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya, manakala operasi mencari dan menyelamat Zulkhairi masih diteruskan.
No comments:
Post a Comment