Friday 30 December 2011

JPN mula keluarkan MyKad baru mulai 3 Januari




PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini secara berperingkat mulai Selasa ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Jariah Mohd Said. 2011/12/30

Beliau berkata pengeluaran MyKad baru akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di JPN Putrajaya dan JPN Shah Alam, Selangor, sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara selepas 15 Februari ini.
Katanya orang ramai digalak menukarkan kepada MyKad baru itu tetapi ia bukan wajib.
"MyKad yang berstruktur baru memiliki reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan seperti diperbuat daripada bahan polikarbonat yang lebih bertahan dan menggunakan cip baru yang lebih bertahan. 

"Selain itu, MyKad baru mempunyai "ghost image" yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan berlaku," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Jariah berkata JPN yakin pengeluaran MyKad baru yang mengikuti piawaian antarabangsa tidak mudah rosak dan ia dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini. 

Beliau berkata MyKad baru sudah menambahbaik keseluruhan percetakan keselamatan MyKad dengan teknologi terkini dan ia memperkukuhkan daya lekatan antara lapisan cetakan dengan "overlay" dengan reka bentuk yang ditambahbaik. 
Jariah berkata cawangan JPN di negeri-negeri lain seperti Kluang dan Ipoh akan mengeluarkan MyKad baru pada 10 Januari, Johor Bahru (14 Januari), Kuantan (15 Januari), Melaka (17 Januari), Kuching dan Kota Bharu (20 Januari), Kuala Terengganu dan Pulau Pinang (29 Januari). 

Selain itu, beliau berkata pejabat JPN Alor Setar akan mengeluarkan MyKad baru pada 2 Februari, Miri (6 Februari), Kota Kinabalu dan cawangan-cawangan lain pada 7 Februari serta cawangan di Wilayah Persekutuan pada 15 Februari. 

"JPN akan mengambil tempoh masa sehari untuk mengeluarkan MyKad struktur baru di cawangan-cawangan JPN yang dinyatakan. 

"Lain -lain cawangan JPN akan mengambil masa 10 hari bekerja di Semenanjung dan maksimum 30 hari di Sabah dan Sarawak," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment