Tuesday 27 December 2011

Bencana air pasang besar runtuhkan jalan di Terengganu




ORANG ramai melihat sebahagian daripada Jalan Teluk Lipat, Dungun yang terpaksa ditutup selepas runtuh dilanda air pasang besar semalam.


DUNGUN – Ribuan penduduk pesisir pantai di daerah ini serta sepanjang pantai Bachok, Kelantan panik apabila kawasan tempat tinggal mereka dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar sejak seminggu lalu.
Kesan daripada kejadian itu mengakibatkan jalan raya yang menghubungkan Pantai Teluk Lipat ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun runtuh selepas dipukul ombak besar.
Fenomena luar biasa itu yang turut diibarat sebagai 'tsunami kecil' oleh penduduk tempatan dianggap sebagai kejadian paling buruk yang pernah berlaku di daerah tersebut.
Selain runtuhan jalan raya, puluhan pokok ru di sepanjang pesisir pantai berkenaan turut menyembah bumi sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat.
Tinjauan Kosmo! di kawasan kejadian semalam mendapati masih ramai pengguna jalan raya melalui kawasan runtuhan sepanjang dua kilometer itu walaupun pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran.
Seorang peniaga kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, mendakwa kejadian air pasang besar di pantai itu mula dikesan sejak minggu lalu sebelum bertukar menjadi lebih buruk kelmarin.
Katanya, situasi di kawasan itu juga dilihat tidak selamat apabila ramai menjangkakan ribut dan angin kencang serta air pasang akan berlaku dalam beberapa hari lagi.
“Selama saya tinggal di sini, inilah bencana paling buruk pernah berlaku sampaikan hampir keseluruhan jalan pesisir pantai runtuh.
“Saya nampak sendiri batu-batu besar dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Credit to: Kosmo

1 comment:

  1. pantai teluk lipat ni mmg ombaknyer besar.pantainya pun curam..sura gate, tempat blaja kat matrik dulu..

    ReplyDelete