Tuesday 27 December 2011

Indonesia juga dilanda banjir


Banjir lumpuhkan jalan utama di Indonesia

Banjir di Pesisir Selatan, Sumatra Barat

undefined
27/12/2011 5:16pm

JAKARTA 27 Dis. - Hujan lebat sejak Sabtu lalu yang berlarutan sehingga semalam menyebabkan kawasan penempatan dan jalan raya utama di beberapa negeri di Indonesia dinaiki air. Kebanyakan kawasan berkenaan mengalami banjir setelah air sungai melimpah dan memaksa sebilangan penduduk berpindah sama ada ke khemah pusat pemindahan atau menumpang di rumah saudara mara di kawasan yang lebih tinggi.

Jalan utama yang terjejas akibat banjir termasuk jalan raya pantai utara Kraton di Pasuruan, Jawa Timur. Pihak berkuasa tempatan terpaksa mengalihkan lalu lintas ke jalan Pandaan-Purwosari-Pasuruan. Sebanyak 2,515 rumah di tiga daerah di Jawa Timur iaitu Bangil, Pohjentrek dan Kraton turut dinaiki air sedalam kira-kira 0.75 meter.

Di Pontianak, Kalimantan Barat, air Sungai Kapuas melimpah menyebabkan jalan-jalan utama serta beberapa kawasan penempatan dinaiki air sehingga 0.5 meter dan memaksa sebilangan penduduk dipindahkan. Sementara itu ratusan rumah di empat buah kampung di daerah Cirebon, Jawa Barat, turut dinaiki air sehingga 0.5 meter menyebabkan penghuninya dipindahkan ke khemah-khemah yang dijadikan pusat pemindahan banjir.

Di daerah Bandung, Jawa Barat pula, 620 buah rumah di beberapa kawasan penempatan dinaiki air melebihi 0.5 meter setelah air Sungai Citarum melimpah dan menyebabkan 1,000 penduduk dipindahkan ke bangunan sekolah, rumah ibadat dan khemah sementara.

Di daerah Kampar, Riau, Sumatera, banjir kilat yang berlaku semalam akibat melimpahnya air Sungai Sebayang, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 500 buah rumah dinaiki air sehingga satu meter. Kawasan yang terjejas banjir itu termasuklah empat buah kampung iaitu Domo, Padang Sawa, Teluk Paman Timur dan Kuntu dan kebanyakan penduduknya telah dipindahkan.

Riau, yang terletak di bahagian Timur Sumatera Barat mengalami hujan lebat sejak seminggu lepas. Sabtu lepas, Pekanbaru iaitu ibu negeri Riau dinaiki air lebih 0.5 meter. 

Credit to:- BERNAMA

No comments:

Post a Comment