Google+ Followers

Friday, 30 December 2011

Menjawab panggilan Baitullah melalui KWSP


Ahli KWSP boleh mendaftar haji mulai 3 Januari ini

     
30/12/2011 7:16pm

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari ini. Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, di bawah Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli boleh membuat pendaftaran mengunakan simpanan Akaun 1 di semua cawangan TH untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.


Pendaftaran haji itu juga boleh dibuat di semua cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH dan ahli KWSP hanya perlu membawa MyKad dan penyata KWSP terkini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ahli KWSP tidak perlu mengeluarkan simpanan untuk mendaftar haji. Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam. "Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH. Ahli yang tidak mempunyai akaun TH boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya.


Nik Affendi berkata ahli KWSP yang telah berdaftar di bawah prosedur TH sebelum ini, boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang diberi sebelum ini. Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan itu tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji kerana ia ditentukan TH.
Untuk maklumat lanjut, ahli KWSP boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my, atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 atau Tabung Haji Contact Centre di 03-62071919.

Credit to:- UTUSAN/BERNAMA