Sunday 18 December 2011

Belajar sambil bekerja boleh berjaya


Kesibukan kerja bukan halangan capai kejayaan



PASANGAN suami Isteri, Chee Choon Hui (kiri) dan Chua Sew Pein berkongsi kegembiraan ketika menerima Ijazah Kejuruteraan pada Majlis Konvokesyen ke-13 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 17 Dis. - Tuntutan kerja sehingga memaksa berulang-alik ke luar negara tidak menjadi penghalang kepada Chua Sew Pein, 31, mencatat kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Hari ini, beliau bukan sahaja mampu menggenggam segulung ijazah tetapi turut merangkul Anugerah Akademik Ijazah Sarjana Terbaik sempena Majlis Konvokesyen Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Lanjutan Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-13 di sini.
Kejayaan itu juga membolehkan Pegawai Avago Technologies yang mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan Kejuruteraan Perniagaan dianugerahkan Graduan Terbaik Keseluruhan.

Lebih menggembirakan Sew Pein, kejayaan itu dikongsi suaminya Chee Choon Hui, 32, yang turut menerima ijazah dalam jurusan sama. "Keluarga banyak memberi semangat kepada saya untuk meneruskan pengajian sehingga tamat walaupun sibuk dengan urusan kerja," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah dan ijazah tersebut daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Menurut Sew Pein, cabaran paling getir semasa pengajian adalah terpaksa ke luar negara untuk menghadiri mesyuarat bersama klien dan berulang-alik dari Pulau Pinang ke UTM di sini bagi menghadiri kelas pada hujung minggu. "Saya amat berterima kasih kepada tenaga pengajar kerana amat memahami kerjaya saya dan tidak jemu membantu sehingga berjaya mencapai ke tahap ini," katanya yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, M.Kandasamy, 49, yang mengikuti pengajian dalam bidang sama telah dianugerahkan sebagai graduan tertua pada konvokesyen kali ini. "Faktor umur bukan penghalang untuk saya menggenggam segulung ijazah. Kejayaan ini akan dijadikan sebagai motivasi kepada tiga anak saya agar mereka belajar sehingga berjaya kerana ia mampu menjamin masa depan," katanya. Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 452 graduan menerima diploma dan ijazah dalam bidang kejuruteraan.

Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment