Monday 12 December 2011

Tak habis-habis Awang Hitam menipu...

Awang Hitam godam e-mel syarikat

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Polis berjaya membongkar taktik terbaru penipuan Internet yang didalangi sindiket warga Afrika selepas dua ahli perniagaan luar negara mendakwa kerugian hampir RM1 juta apabila akaun e-mel syarikat mereka digodam oleh sindiket berkenaan. Modus operandi sindiket yang berpangkalan di tanah air itu menyasarkan e-mel syarikat pembekal dan syarikat penghantar dengan menyamar sebagai wakil syarikat berkenaan ketika menuntut pembayaran bagi barang yang dipesan.

Tuntutan pembayaran dibuat terhadap pelanggan syarikat pembekal dan penghantar berkenaan sebaik sahaja barangan itu diterima. Menerusi e-mel syarikat pembayaran dan penghantar itu, sindiket akan meminta pelanggan membuat pembayaran ke dalam nombor akaun sindiket tersebut. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian akan membuat pemindahan wang urusan jual beli ke dalam akaun tempatan yang diberikan oleh suspek tanpa menyedari e-mel syarikat telah digodam oleh sindiket.

Taktik baru itu mula dikesan selepas polis menerima laporan daripada kedua-dua mangsa di ibu negara pada November lalu mengakibatkan kerugian berjumlah RM960,000. Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamaruddin Md. Din berkata, kes pertama membabitkan sebuah syarikat pembekal alat telekomunikasi yang beroperasi di Dubai manakala kes kedua pula sebuah syarikat penghantar barang yang beroperasi di Bangladesh.

"Mangsa hanya menyedari e-mel tersebut digodam selepas wang tidak diterima oleh pihak syarikat sebenar serta mendapati akaun berkenaan dibuka di Malaysia. "Setakat ini, kita baru menerima dua laporan polis berhubung modus operandi itu yang mula dikesan sejak Oktober lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Kamaruddin, dalam laporan polis yang diterima pada 24 November lalu, seorang ahli perniagaan warga Iran mendakwa kerugian sebanyak RM900,000 selepas menerima e-mel palsu daripada seorang klien. Mangsa yang berusia 26 tahun membuat empat transaksi ke dalam akaun sebuah syarikat milik suspek yang kesemuanya berjumlah RM900,000 sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian berasingan pada 2 Disember lalu, seorang pengurus syarikat warga Bangladesh berusia 63 tahun mengalami kerugian sebanyak RM60,000 ekoran modus operandi sama. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama ahli perniagaan supaya berhati-hati dengan menyemak dahulu e-mel yang diterima daripada klien bagi mengelak kerugian. Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment