Orang ramai diminta jauhi pantai timur Johor
JOHOR BAHRU 19 Dis. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati orang ramai yang tinggal di pantai timur negeri ini supaya tidak mendekati kawasan pantai berikutan ribut petir dan laut bergelora ketika ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifli Abu Bakar berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter dan disertai ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.
Beliau berkata, antara kawasan terlibat adalah perairan Mersing, Tanjung Sedili, Desaru, Sungai Rengit dan sepanjang pantai timur Johor dan ia dijangka berterusan sehingga 29 Disember ini.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat berbahaya kepada semua aktiviti pantai khususnya nelayan kecil dan laut dalam serta pekerja pelantar minyak di sepanjang pantai Johor timur.
"Ibu bapa juga dinasihatkan tidak membawa anak-anak berkelah, mandi-manda atau melakukan apa sahaja kegiatan rekreasi di pantai berkenaan pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zulkifli berkata, pengusaha resort dan hotel di pesisiran pantai juga diminta melarang pengunjung daripada melakukan aktiviti di tepi pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Hingga kini dua kematian telah dilaporkan membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 14 Disember lalu dan terbaru, dua beradik di Pantai Desaru, Kota Tinggi semalam dengan seorang masih hilang.
"Maritim Malaysia berharap sebarang kejadian kemalangan di laut dapat disalurkan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan penyelamat," katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru di talian 07-2219231 atau bilik operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan di 07-2199401/ 2199410.
No comments:
Post a Comment