Wednesday, 1 May 2013

Hubungan baik majikan, pekerja

Tugasan harus dilaksana dengan amanah, bersama kongsi keuntungan


Seluruh negara sibuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan parti yang bertanding giat berkempen dengan agresif demi mencapai keinginan menjadi wakil untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

Namun, di sebalik kesibukan masing-masing, eloklah kita berehat dan menyambut hari yang tidak kurang pentingnya di seluruh dunia, iaitu Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Hari Pekerja dulunya dikenali Hari Buruh. 



Bekerja adalah suruhan agama Islam bersandarkan nas al-Quran dan hadis Nabi menyentuh keperluan berkerja bagi tujuan mencari nafkah. Islam tidak menggalakkan kemiskinan kerana enggan berkerja dan tidak mampu menampung keperluan asas diri serta keluarga.

Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baihaqi ada menyebut, mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan yang difardukan.

Firman Allah SWT: “Dan carilah apa-apa yang Allah sediakan bagi kamu untuk akhirat dan janganlah kamu lupa nasib habuan kamu dalam kehidupan dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 27) 

Oleh itu, bekerjalah kerana Allah. Carilah rezeki yang mencukupi untuk keperluan keluarga. Pelihara hubungan antara majikan dan pekerja untuk memastikan perniagaan yang dijalankan mencapai kejayaan. 



Hak dan tanggungjawab pekerja
Kita perlu mengkaji kembali apakah hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan seperti digariskan agama Islam kerana hubungan baik serta pelaksanaan tanggungjawab oleh kedua-duanya menjadi asas untuk menaikkan sesebuah organisasi.

Umumnya hubungan majikan dan pekerja terikat dalam satu acuan yang disebut hablum min al-nas (hubungan sesama manusia) yang wajib dijaga oleh kedua-dua pihak. Kesempurnaan hubungan antara manusia ini akan lahir hablum min Allah (hubungan dengan Allah) dijaga baik.

Firman Allah SWT: “Mereka ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali mereka berpegang kepada tali Allah dan tali dengan sesama manusia.” (Surah Ali-Imran, ayat 112) 

Di sisi Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam ikatan persaudaraan. Harapan yang diberikan seorang saudara kepada saudaranya yang lain diberikan oleh pekerja kepada majikannya dan begitulah sebaliknya. 



Hubungan majikan, pekerja
Seorang saudara tidak akan merasa tenteram dan aman jika melihat saudaranya yang lain berada dalam keadaan sukar. Begitulah juga perasaan perlu ada dalam hubungan antara majikan dan pekerja. Tidak harus ada rasa prejudis antara kedua-dua golongan bersaudara itu. 

Majikan walaupun bebas mencari kekayaan dalam perniagaannya, tidak harus memerah keringat orang bawahan tanpa perkongsian keuntungan yang setimpal dan hanya mementingkan diri sendiri. Kebajikan yang adil juga harus diberikan oleh majikan kepada pekerja dan haruslah golongan pekerja diberi upah yang setimpal. 

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bekerja di bawahmu adalah saudaramu. Orang yang berkerja di bawah kamu sebenarnya diizinkan Allah mengikut perintahmu. Seorang yang mengambil saudaranya sebagai pekerja wajib memberikannya makanan dari apa yang mereka makan dan memberikan pakaian dari apa yang kamu pakai. Dan pekerja tidak harus dibebankan dengan tugas-tugas di luar kemampuan mereka. Jika kamu telah memberikan tugas berat maka hendaklah kamu menolong mereka.” (Riwayat al-Bukhari) 

Di sebalik itu, pekerja harus jujur menjalankan tugasan yang telah diberikan dan tidak menekan majikan dengan tuntutan yang tidak wajar. Islam menggariskan prinsip yang perlu dalam melaksanakan tanggungjawab bekerja.

Hendaklah mencari pekerjaan yang halal dan tidak melanggar syarak. Melaksanakan amanah bekerja mestilah niat kerana Allah SWT dan tugas dilakukan dengan tekun, cekap, profesional serta penuh ihsan. 



Jangan curi tulang
Jangan sekali-kali mencuri tulang untuk melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pekerjaan seperti melayari laman sosial dan sebagainya pada waktu berkerja.

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Nabi bersabda: “Sesungguhnya Allah suka melihat hamba-Nya yang menjalankan pekerjaan dengan tekun (teliti).”

Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah bersabda: “Allah sukakan hamba-Nya yang berkerja. Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” 

Syariat Islam adalah rahmat untuk seluruh alam. Penghayatan kepada seluruh aspek syariat Islam membawa kita kepada jaminan kerahmatan daripada Allah. Selamat menyambut Hari Pekerja dan semoga selepas ini kita menjadi majikan serta pekerja yang lebih baik.


Credit: Moeis Bakri-Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment