Friday, 17 May 2013

Laksana tugas dengan telus, ikhlas


Kuasai pelbagai kepakaran serlah kehebatan Islam.



Islam meletakkan kepelbagaian bidang ilmu serta kelebihan individu dalam sesuatu bidang sebagai pelengkap kepada kemakmuran alam semesta. Kekurangan dimiliki individu lain akan tertampung dengan kelebihan orang lain kerana tiada manusia sempurna dan maksum melainkan Nabi Muhammad SAW. 

Ini kerana Baginda SAW sentiasa dipimpin oleh wahyu yang menyelamatkan Baginda daripada kesilapan dan kesalahan. Firman Allah SWT: Dia (Muhammad) tidak bertindak dan berkata-kata mengikut hawa nafsu melainkan setelah datangnya wahyu. (Surah An-Najm, ayat 3).


Sahabat Baginda Rasulullah SAW sendiri mempunyai kepakaran yang berbeza. Contohnya, dalam ilmu agama, Baginda bersabda: Dalam kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Kab. Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit. Orang yang paling berilmu mengenai halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah. (Riwayat Tirmizi) 


Rasulullah SAW sentiasa mengiktiraf kepakaran sahabatnya dengan meletakkan mereka pada tempat dan masa paling sesuai. Sahabat pula sentiasa memahami dan mentaati arahan serta menjadikannya sebagai panduan dalam pemerintahan selepas kewafatan Baginda SAW. 

Laksana tugas dengan telus, ikhlas 

Mereka menjalankan tugas dengan telus dan ikhlas tanpa ada rasa kecewa dan putus asa. Kesannya, kita dapat melihat Islam berkembang ke seluruh pelosok dunia. 

Ketika pemerintahan Saidina Umar, jawatan panglima perang yang disandang oleh Khalid Al-Walid dilucutkan ketika sedang bertugas dan digantikan dengan Abu Ubaidah. Perintah segera dilaksanakan dan terbukti apabila penguasaan Islam dapat masuk ke Syria. 
Pelbagai persoalan diajukan mengenai perlucutan itu, namun Khalid menjawab dengan yakin: Sesungguhnya aku berkhidmat untuk Allah, bukannya untuk Umar. 

Semasa hayat Baginda SAW juga, Khalid Al-Walid sering dilantik untuk mengepalai gerakan ketenteraan. Begitu juga sahabat lain seperti Abu Ubaidah, Saidina Hamzah, Saidina Ali dan lain-lain. 

Rasulullah SAW tidak mengetepikan Khalid semata-mata kerana kekurangan beliau dalam strategi peperangan atau periwayatan hadis jika dibandingkan dengan Abu Hurairah dan sahabat lain. Namun Baginda ingin menyampaikan mesej bahawa setiap orang perlu dihargai kerana setiap seorang berperanan dalam menyerlahkan kehebatan Islam. 

Mereka juga perlu diberi peluang untuk mengasah bakat serta kemampuan dalam membangunkan negara dan agama. Sahabat amat memahami sabda Baginda SAW: Semua kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya. 

Baginda SAW tidak pernah mengarahkan sahabat menumpukan perhatian kepada satu bidang ilmu saja. Sebaliknya Rasulullah SAW sentiasa melihat kepada kepakaran sahabatnya dalam skop yang lebih besar. 

Selagi mana kepakaran itu dapat menyerlahkan kehebatan Islam, selagi itulah kepakaran itu akan dimanfaatkan. Islam juga mengajar segala keperluan untuk kebaikan Islam akan diterima pakai tanpa mengira latar belakang atau kedudukan seseorang. 

Baginda SAW pernah meminta perkhidmatan seorang yang bukan Islam iaitu Abdullah Bin Uraiqith sebagai pemandu jalan dalam peristiwa Hijrah yang terkenal. 

Kita juga melihat kepelbagaian yang ada pada sekalian isteri Baginda SAW di mana kelebihan yang ada pada Zainab binti Jahsh ialah pandai menjahit dan sering bersedekah. Aishah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling awal wafat dan menyusuliku di kalangan kamu semua (isteri-isteri Baginda SAW) ialah yang paling panjang tangannya. Aishah berkata: Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami dapati Zainab yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah dengan hasil kerjanya itu. (Riwayat Imam Muslim) 

Rasulullah SAW iktiraf usaha murni 

Menjelaskan hadis ini, al-Imam al-Nawawi mengatakan, hadis ini menunjukkan keistimewaan Zainab binti Jahsh yang dapat bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru, dapatlah kita fahami Rasulullah SAW mengiktiraf usaha murni Zainab dalam menyerlahkan kehebatan Islam melalui usahanya meringankan bebanan fakir miskin. Istilah panjang tangan di sini merujuk kepada banyak bersedekah, berbeza dengan peribahasa Melayu yang masyhur. 

Kepakaran perlu dipelbagaikan demi menjaga kehebatan Islam. Dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit berkata: Rasulullah SAW telah mengarahkan saya untuk belajar bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata: Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku. Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah SAW kepada orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada Baginda. (Riwayat Abu Daud) 

Hadis ini sewajarnya menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang menceburi bidang linguistik supaya berusaha sedaya upaya sehingga dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Tidak dapat dinafikan bahasa dapat memperluaskan dakwah Islamiah. 

Kemampuan dalam beribadat hendaklah diseimbangkan dengan kehidupan yang memerlukan usaha seterusnya menghasilkan kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu. Marilah kita melihat kelebihan dikurniakan Allah SWT sebagai satu rahmat dan bagi menampung kelemahan yang ada. 

Justeru, tuntutan untuk kita berada dalam jemaah atau sesuatu kumpulan adalah jalan ke arah mencapai tahap kesempurnaan yang lebih baik. Sabda Baginda SAW: Hendaklah kamu menyertai golongan ramai kerana serigala akan menyerang mangsanya yang bersendirian. 

Semoga kita menyedari kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri serta menolak sifat angkuh atau sombong yang semakin menebal.

No comments:

Post a Comment