Saturday 4 May 2013

Imigresen terima maklumat warga asing ejen PRU-13


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen mengesahkan ada menerima maklumat pihak tertentu mempergunakan warga asing di negara ini sebagai ejen dan jentera kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Serentak itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad, memberi amaran akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1993 termasuk menyenarai hitam warga asing terbabit yang boleh mengganggu ketenteraman awam.


“Imigresen mengingatkan semua pelancong, pekerja, pelabur, pembantu rumah, pelajar, pemegang pas penduduk tetap dan sesiapa saja supaya tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti PRU-13,” katanya.


Perketat kawalan keselamatan
Alias berkata, kawalan keselamatan di laluan darat diperketat untuk memastikan PRU-13 berjalan secara aman serta mencegah unsur luar yang cuba mengambil kesempatan dan mengganggu proses pengundian.

“Pemeriksaan teliti bagi memastikan dokumen tulen dan tujuan kemasukan adalah seperti tercatat dalam visa. Kita juga memperketatkan pemeriksaan kegunaan pas sempadan yang mana pemegang mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Pemegang pas sempadan tidak boleh memasuki lebih dari 25 kilometer dari sempadan. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini,” katanya. 


Di Tumpat: Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya meningkatkan kawalan di semua pintu sempadan, termasuk meminta bantuan tentera Thailand sejak tiga hari lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemasukan pengundi luar supaya memaklumkan kepada polis sebelum sebarang tindakan diambil.



Credit: Berita Harian

No comments:

Post a Comment