Wednesday, 8 May 2013

Timba ilmu ke peringkat tertinggi


DYMM Raja Zarith Sofiah Idris - Johor Bahru, Malaysia
JOHOR BAHRU 7 Mei - Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diseru meneruskan pengajian di peringkat ijazah lanjutan pada masa akan datang bagi menimba ilmu pengetahuan.

Canselor UTM, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah kini terbuka luas termasuk di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

Baginda bertitah, menuntut ilmu merupakan usaha yang berterusan dan setiap individu perlu berusaha meneroka ilmu pengetahuan tidak kira sama ada secara formal atau tidak formal.

"Saya juga berasa sangat teruja dengan program budaya ilmu yang diusahakan pengurusan tertinggi UTM dengan menjemput beberapa tokoh ilmuwan dari dalam serta luar negara kerana program seumpama itu membolehkan kita mendapat maklumat mutakhir mengenai perkara yang berlaku di peringkat global.


"Saya yakin dengan ilmu dan pengalaman para graduan sepanjang tempoh pengajian di UTM akan mengukuhkan integriti, kredibiliti dan jati diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang negara dan ajaran agama Islam," titah baginda dalam Majlis Konvokesyen UTM Ke-50 di Skudai dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 2,709 graduan menerima pelbagai ijazah dan diploma masing-masing iaitu 116 ijazah doktor falsafah (Ph.D), 1,058 ijazah sarjana, 1,001 ijazah sarjana muda dan 534 diploma.


Daripada jumlah itu, seramai 530 graduan ialah penuntut antarabangsa.

Raja Zarith Sofiah turut mengingatkan graduan supaya menonjolkan personaliti yang baik, keterampilan serta akhlak yang mulia selain perlu mengamalkan sikap toleransi terhadap pelbagai budaya, bangsa serta agama di negara ini.

"Saya ingin ingatkan para graduan agar menghormati kedua ibu bapa yang dikasihi, balas jasa mereka dengan penuh kasih sayang. Saya ingin menasihatkan para graduan supaya jangan bersikap sombong, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk," titah baginda.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut menyeru graduan supaya sentiasa mencari ilmu meskipun sudah meninggalkan alam pengajian formal kerana ilmu akan membezakan kedudukan seseorang itu.

Beliau berkata, sikap orang berilmu tersingkap dalam kematangan minda serta perwatakan dan bukan kepetahan tutur kata.

"Tanda orang berilmu adalah pada watak dan adabnya, bukan pada sijil dan kerenahnya. Semakin berilmu, tinggi amalnya tetapi rendah lagaknya," katanya.

Credit: Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir

No comments:

Post a Comment