Tuesday, 28 May 2013

Tragedi pulang rai Hari Gawai

Tragedi pulang rai Hari Gawai
Pemandu bot ekspres ditahan bawa penumpang lebih 3 kali had muatan
Belaga: Kepulangan untuk menyambut perayaan Hari Gawai berakhir tragedi apabila sebuah bot ekspres yang membawa penumpang hampir tiga kali ganda melebihi muatan dibenarkan, karam, menyebabkan 23 penumpang dikhuatiri lemas, manakala 181 lagi terselamat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanjong Giam Bungan, kira-kira sejam perjalanan dari pekan ini. Ketika kejadian bot malang itu dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit.



181 dilapor selamat 


Sehingga jam 7 malam tadi, 23 penumpang masih dilaporkan hilang, manakala 181 dilaporkan terselamat, apabila mereka berenang ke rumah panjang berhampiran, selain ada yang diselamatkan penduduk berhampiran.

Bot Kawan Mas itu boleh memuatkan 74 penumpang, tetapi sarat dengan 204 penumpang ketika kejadian, sehingga ramai yang terpaksa duduk di bumbung bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Belaga, Superintendan Bakar Sebau, berkata siasatan awal mendapati bot ekspres yang terlebih muatan itu terbalik setelah terlanggar batu di satu selekoh berhampiran Tanjong Giam menghala ke Sungai Rejang.

Katanya, bot berkenaan membawa pekerja kontrak dari Bakun, Murum dan Sungai Asap pulang ke Belaga dan Kapit untuk menyambut Hari Gawai. 
“Bot yang sarat dengan penumpang itu singgah menurunkan penumpang di Jeti Belaga dan meneruskan perjalanan ke Kapit. Kira-kira sejam perjalanan, bot terbabit terlanggar batu sebaik tiba di selekoh sebelum karam,” katanya ketika dihubungi.



Muatan berlebihan


Bakar berkata, kapasiti bot cuma untuk 74 penumpang tetapi muatan berlebihan menyebabkannya tidak stabil dan mudah terbalik.

“Penumpang yang duduk di luar bot sempat menyelamatkan diri dengan dibantu penduduk dua rumah panjang berhampiran, manakala penumpang yang dikhuatiri lemas adalah mereka yang duduk di dalam bot.

“Sukar untuk mengetahui jumlah sebenar penumpang tetapi selepas soal siasat dijalankan dengan anggota keluarga, polis percaya 23 penumpang saja yang masih hilang,” katanya.



Pemandu bot ditahan 


Bakar berkata, pemandu bot berusia awal 50-an ditahan bagi membantu siasatan dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Katanya, penumpang terselamat masih ditempatkan di Rumah Panjang Uma Tevok dan Uma Tanjong, sementara menunggu bantuan susulan.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan bomba, polis dan Lembaga Sungai Sarawak (LSS).

“Pasukan penyelam polis dari Bintulu dan pasukan paramedik dari Kapit dalam perjalanan ke lokasi kejadian, dijangka tiba kira-kira jam 8 malam ini (malam tadi),” katanya.

Difahamkan perjalanan menaiki bot di kawasan berkenaan yang banyak bergantung kepada paras air sungai, selain jumlah bot ekspres yang terhad di laluan terbabit dan jumlah penumpang terlalu ramai untuk balik menyambut Gawai, dipercayai antara sebab bot malang itu terpaksa membawa penumpang jauh melebihi muatan dibenarkan.

No comments:

Post a Comment